rap

'Norman ubah saya'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Memey Suhaiza menyifatkan suaminya yang juga pelakon Norman Hakim sebagai suri teladan untuknya berubah ke arah lebih baik.

Memey, 30, atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi berkata Norman tidak pernah memaksa sebaliknya sentiasa memberi contoh yang baik menerusi amalan dan solat.

"Sejak kecil saya dibesarkan dalam keluarga yang sangat penyayang. Alhamdulillah, antara nikmat terbesar saya adalah apabila dapat bersama keluarga ini.

"Selepas berkahwin dengan suami tidak pernah paksa saya bertudung. Dia masih beri kelonggaran kerana ketika itu saya masih fikir nak berlakon.

"Namun, suami membimbing dan tunjukkan contoh kepada saya. Dia tidak pernah tinggal solat malah sentiasa melakukan solat sunat Dhuha, Tahajud dan lain-lain. Semua itu jadi amalan harian dan saya nampak,” katanya.

Memey yang berkongsi perkara itu menerusi program Seminar Keluarga Sunnah bersama pendakwah bebas Ebit Lew berkata, bekas isteri Norman iaitu Abby Abadi juga antara individu yang banyak beri tunjuk ajar.

"Saya masih ingat, detik sebelum saya dan kak Abby jadi baik macam sekarang. Kali pertama jumpa, di peluk saya dan cakap kalau saya sayangkan suami pakai tudung.

"Ketika itu kami belum bertegur lagi, masih dalam situasi dingin. Apa diperkatakan kak Abby meninggalkan impak besar hingga asyik terfikir mengenainya.

"Di sebalik apa berlaku dalam kehidupan, saya dipertemukan dengan kak Abby yang sangat baik. Malah, saya bersyukur ada orang yang sentiasa jadi suri teladan buat diri ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 2:21pm
d