rap

Nama Didie kembali bersih

Oleh Ramlah Zainal

“Saya bersyukur kerana doa orang teraniaya akhirnya dimakbulkan Allah SWT. Semuanya berkat doa ibu, suami dan anak-anak,” kata pelakon dan pengacara terkenal Didie Alias ketika mengulas kemenangan kes mahkamah membabitkan penerbit drama, Datuk Rafiena Ezanee Ramli yang berlarutan sejak setahun lalu.

Menurut pemilik nama sebenar Fadzilah Mohd Ali, 44, kemenangan itu cukup bermakna kerana dapat membersihkan namanya yang tercalar kerana kes terbabit.

“Saya berasa terkejut dan mahu menangis bila dapat tahu keputusan mahkamah jam 9 pagi tadi.

“Saya juga akan mengadakan majlis sidang akhbar dan doa selamat susulan kemenangan kes ini pada Isnin nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Belajar daripada pengalaman, Didie mengakui akan lebih berhati-hati menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak selepas ini.

“Wang bukanlah segala-galanya. Apa saya lalui ini pengajaran paling perit sepanjang 30 tahun berada dalam industri,” katanya.

Terdahulu, Rafiena dan syarikat penerbitannya, Dark Wave Pictures memfailkan tuntutan saman ganti rugi terhadap Didie di Mahkamah Sesyen Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Zamri Idrus & Co pada 21 Mac 2017.

Tiga tuntutan yang difailkan Rafiena adalah kerugian, sikap tidak bertanggungjawab sebagai penerbit eksekutif serta trauma dan tekanan.

Isu ini timbul apabila Didie didakwa gagal menjalankan tugas sebagai penerbit eksekutif drama Syurgaku Tak Sempurna yang kini bersiaran di saluran Hypp TV dengan baik.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 5:50pm
d