rap

Cardi B buat hal lagi!

Oleh Susunan Michelle Gun

Penyanyi rap terkenal Cardi B berdepan dakwaan melakukan serangan secara melulu di sebuah kelab di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Saman dikemukakan terhadap pemilik nama sebenar Belcalis Marlenis Almanzar itu selepas dia bersetuju bertemu dengan anggota penyiasat polis.

Portal The Guardian melaporkan, polis mendapati isteri penyanyi Offset itu bersama sekumpulan individu berada di kelab berkenaan sekitar jam 3 pagi, Sabtu lalu.

Menurut polis, satu pertengkaran berlaku antara Cardi dan seorang pelayan bar wanita berusia 23 tahun.

Kemudian, tercetus pergaduhan dengan kerusi dan botol dibaling sehingga mencederakan wanita itu serta seorang lagi pekerja.

Cardi dan sembilan individu lain segera meninggalkan tempat kejadian sebelum penyanyi itu bersetuju membantu siasatan selepas dicam mangsa.

Dia dilaporkan menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.

Penyanyi terkenal menerusi lagu Bodak Yellow ini akan dibicarakan di mahkamah pada 29 Oktober ini.

Kejadian itu berlaku tiga minggu selepas Cardi dan penyanyi Nicki Minaj terbabit dalam perbalahan sehingga mencetuskan pergelutan di parti Minggu Fesyen New York.

Difahamkan, Cardi membaling kasutnya terhadap Nicki, namun setakat ini, pergaduhan mereka tidak dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, satu rakaman video memaparkan Cardi menyerang seseorang sebelum dihalang ketika menghadiri majlis Harper’s Bazaar Icons tular di media sosial.

Satu video asing menunjukkan anggota keselamatan mengiringi Cardi meninggalkan majlis.

Dua penyanyi berkenaan dikatakan saling bersaing sejak Cardi mula menempa nama dalam industri muzik.

Selain itu, Cardi dikatakan menuang minyak ke dalam api apabila dikhabarkan bekerjasama dengan bekas kekasih Nicki, Meek Mill menghasilkan lagu baru.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 11:27am
d