rap

'Acah sanding je'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“ITU bukan majlis kahwin tetapi acah macam majlis sebenar. Ia hanya sesi fotografi untuk kenangan saya dan suami. Jadi, janganlah fikir yang bukan-bukan pula,” kata pelakon Izreen Azminda mengenai gambar perkahwinan yang dimuat naik di Instagram semalam.

Izreen, 33, atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam berkata, ‘majlis pekahwinan’ yang dibuat itu mendapat tajaan sepenuhnya daripada beberapa pihak.

Malah, Izreen menafikan dia bernikah semula dengan suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Uda seperti didakwa netizen.

“Saya sudah jangka perkara ini mesti kecoh. Malah, ada yang tuduh bukan-bukan. Ingin dijelaskan, penaja mahu sesi fotografi dibuat seperti majlis perkahwinan sebenar iaitu malam berinai, nikah dan resepsi.

“Apatah lagi selepas berkahwin tahun lalu saya tidak pernah ada gambar rasmi perkahwinan. Jadi, saya terima tawaran mereka dan mengabadikan gambar ini sebagai kenangan bersama suami.

“Kalau perasan mana ada gambar tetamu dimuat naik. Secara logik, kalau majlis sebenar mesti saya letak sekali gambar keluarga,” katanya kepada Harian Metro.

Berikutan itu, Izreen memohon maaf kepada keluarga, rakan artis dan media kerana membuatkan mereka tertanya-tanya.

“Sejak semalam ramai yang bertanya. Maafkan saya sebab tidak sempat menjelaskan satu persatu. Diharap dengan kenyataan ini semua orang jelas dan faham.

“Mustahil saya tidak menjemput mereka ke majlis saya jika betul ia diadakan. Sekali lagi terima kasih kepada semua penaja kerana merealisasikan ‘majlis kahwin’ saya,” katanya.

Ditanya adakah selepas ini akan diadakan majlis resepsi sebenar, Izreen berkata hanya kenduri doa selamat.

“Majlis resepsi tidak mungkin. Lagi pun, sudah lebih setahun saya berkahwin. Kalau nak buat pun kenduri doa selamat secara kecil kecilan. Itu lebih baik,” katanya.

Izreen dan Uda, 30, yang juga pemuzik bebas berkahwin pada 8 Ogos tahun lalu.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Izreen dikurniakan anak lelaki, Adrian Umar yang kini berumur lima tahun.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 2:01pm
d