rap

Semoga niat PU Amin dimakbul Allah...

Oleh Najiy Jefri

PENDAKWAH bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin bakal menaja 20 golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk menunaikan Umrah hujung tahun ini.

PU Amin ketika dihubungi berkata, keputusan itu dibuat untuk mendekati dan membimbing golongan ini.

"Disebalik kelantangan saya bercakap dan mengecam golongan LGBT ini, saya perlu mengambil tindakan lebih besar untuk memberi pemulihan dan bimbingan kepada golongan ini.

"Ini sebagai penghargaan bagi menarik golongan LGBT untuk melaksanakan Umrah. Mungkin selama ini mereka berat hati untuk ke Tanah Suci Makkah kerana ada pondan atau mak nyah sudah memiliki benda pelik di badan mereka, tapi saya akan cuba mendekati dan membimbing golongan mereka," katanya.

Menurut PU Amin, sebagai permulaan dia bakal menggunakan duit peribadi dan syarikatnya, Simply Umrah untuk menaja golongan terbabit selain menjalin kerjasama dengan dengan beberapa pihak.

"Insya-Allah dengan duit yang ada, saya mahu bawa golongan ini melihat kebesaran Allah.

"Program ini akan diadakan secara berperingkat yang mana bukan saja fokus kepada golongan LGBT, tapi saya akan turut bawa muallaf, gelandangan, fakir miskin dan orang asli.

"Saya akan cuba bekerjsama dengan beberapa pihak agensi termasuk Lembaga Zakat. Bagaimanapun saya belum bertemu dengan mereka untuk berbincang mengenai perkara ini. Insya-Allah saya akan bertemu dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, menerusi akaun Instagram PU Amin, dia turut menyatakan beberapa syarat bagi golongan minoriti yang benar-benar mahu pergi menunaikan ibadah terbabit.

"Jangan malu malu. Jika anda Lesbian, Gay, Pondan, Mak Nyah, Pengkid, DM sahaja saya.

"Syaratnya mereka wajib ikuti kelas bimbingan al-Quran, Akidah dan Fardu Ain daripada saya. Kelas agama, kursus dan pakej umrah percuma. Saya buat 20 orang dulu. Esok kalau saya jadi jutawan saya buat satu kampung pula," katanya sudah ramai yang menghantar mesej peribadi namun terpaksa disaring terlebih dahulu.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 6:11pm
d