rap

Seksanya sakit batu karang

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PENGACARA sukan Hafizal Hamad, 39, terpaksa menjalani pembedahan batu karang selepas mengalami sakit di bahagian abdomen, pagi tadi.

Adiknya, Fiza Hamad, ketika dihubungi berkata, abangnya mengadu sakit teruk di bahagian itu selepas solat Subuh, awal pagi semalam.

“Kami bawa abang ke klinik tetapi diminta terus ke hospital kerana keadaannya semakin teruk.

“Selepas melakukan proses imbasan CT, doktor mendapati ada tiga ketul batu karang di saluran kencing dan menjelaskan perlu dibedah secepat mungkin,” kata Fiza.

Menurut Fiza lagi, setakat ini doktor berjaya mengeluarkan sebiji batu karang melalui kaedah ‘stand’ iaitu memasukkan tiub melalui saluran kencing bagi memecahkan batu karang.

Proses mengeluarkan baki batu karang akan dilakukan pada tarikh lain yang akan ditentukan kelak berikutan keadaan Hafizal masih lemah.

Fiza berkata, buat masa sekarang Hafizal terpaksa bergantung dengan ubat tahan sakit selain hilang selera makan.

Hafizal dikenali sebagai pengacara dan pengulas beberapa program sukan popular antaranya Bola@Mamak dan Bola.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 7:18pm
d