rap

Hardy 'gigit kepala'

Oleh Michelle Gun

Bintang Venom, Tom Hardy memaklumkan pengalaman berlakon dalam filem itu sarat dengan kenangan manis dan pahit.

Pelakon Inggeris berusia 41 tahun ini mendedahkan, semua babak kegemarannya yang dianggarkan berdurasi 40 minit dalam filem berkenaan disunting produksi.

Kata Hardy, babak terbabit merangkumi komedi gelap dan adegan permainan dalang.

“Terdapat 30 hingga 40 minit babak kesukaan saya tiada langsung ditayangkan dalam filem ini,” katanya ketika ditanya babak digemari dalam Venom, arahan Ruben Fleisher.

Berbeza dengan filem Marvel lain, Venom tidak memaparkan adiwira, sebaliknya mengetengahkan penjahat yang membunuh dengan menggigit kepala mangsa sehingga tercabut.

Dalam filem itu, Hardy berlakon sebagai wartawan bernama Eddie Brock yang berubah menjadi Venom.

Ia menceritakan kelahiran Venom, raksasa menyerupai makhluk asing simbiotik yang mempunyai ratusan gigi tajam dan pernah muncul dalam kisah Spider-Man.

Bercerita lanjut, Hardy memberitahu anaknya, Louis adalah peminat tegar Venom.

“Saya mahu berlakon dalam karya yang boleh disaksikan anak. Kebanyakan filem lakonan saya sebelum ini ganas, kasar atau mengeluarkan kata-kata kesat.

“Filem ini pula memaparkan saya gigit kepala mangsa,” katanya.

Malah, beberapa bulan sebelum masuk set penggambaran, pelakon ini mula berlatih suara Venom di kediamannya serta mengirim lukisan makhluk itu kepada pengarah.

Usaha itu menggambarkan Hardy sudah obses dengan wataknya dan ia turut diakui Fleischer dalam temu bual, baru-baru ini.

Di set pula, Hardy turut menyumbang idea wataknya melompat dalam tangki air sejuk dipenuhi udang galah serta satu babak lucu di sebuah restoran.

Sementara itu, penerbit eksekutif, Matt Tolmach menafikan khabar angin mendakwa sebahagian babak menakutkan disunting supaya Venom dapat penilaian PG-13 di pawagam Amerika Syarikat.

“Semua orang tanya kami mengenai perkara itu. Mereka mahu tahu sekiranya filem ini ada adegan dinilai R, namun ia tiada,” jelasnya.

Produksi menyasarkan Venom mengutip jualan tiket RM248.78 juta atau AS$60 juta apabila mula ditayangkan minggu ini.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 10:15am
d