rap

'Kenapa nak perbodohkan kami?'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI terkenal era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin dan isterinya, Datin Effa Rizan mengakui terkilan dan keliru dengan sikap seorang ahli perniagaan muda yang menabur janji palsu terhadap mereka.

Pertengahan Mei lalu, ahli perniagaan terbabit menganjurkan majlis Malam Kisah Seorang Biduan bersama Datuk Dahlan Zainuddin yang berlangsung di sebuah hotel terkenal dan mengumumkan memberi sumbangan sebanyak RM100,000 terhadap penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan ini.

Keesokan harinya, ahli perniagaan itu bertemu pasanga itu di hotel sama dan berjanji menghadiahkan mereka sebuah rumah banglo bernilai lebih RM1.2 juta.

Effa yang mewakili suaminya berkata, kedua-dua janji itu masih gagal ditunaikan sehingga sekarang.

"Mulanya saya dan Abang Dahlan dihubungi oleh seorang individu yang mengundang menyanyi konon untuk program sempena Hari Ibu.

"Saya jelaskan kepadanya Abang Dahlan sudah tak mampu menyanyi dan hanya saya yang beraksi di atas pentas sekarang.

"Selepas mencapai persetujuan, tiga hari sebelum majlis, wakil kepada ahli perniagaan ini menghantar gambar 'backdrop' dan menjelaskan pertukaran nama program dibuat saat akhir," katanya.

Effa kemudian bertanyakan kepada wakil itu samada mereka menjual meja kepada peminat yang ingin turut serta pada majlis itu.

"Sejak awal lagi saya tak nak kami dianggap meraih simpati. Ikutkan ramai pihak yang nak anjurkan program yang menjual meja untuk bantu Abang Dahlan tapi saya menolak.

"Saya malu nanti orang ingat yang bukan-bukan terhadap kami sedangkan kami masih boleh berdikari biarpun wang yang tinggal bukanlah banyak.

"Kami memang tak tahu yang ahli perniagaan ini nak berikan sumbangan sebanyak ini kepada Abang Dahlan. Bukan kami yang buat cerita tetapi semua cerita berkaitan perkara ini ada tersiar di media," katanya.

Effa juga menjelaskan sering menerima ucapan tahniah daripada kawan-kawan yang menyangka kehidupan mereka sudah selesa.

“Ada juga yang menyangka kami sudah pindah ke rumah banglo yang konon dihadiahkan oleh ahli perniagaan muda ini tapi saya hanya tutup mulut.

"Lima bulan saya pendam dan kunci mulut sedangkan dalam masa sama sering diajukan pertanyaan pelbagai dari kawan-kawan berkenaan wang RM100,000 dan banglo yang dijanjikan.

"Ini satu aib pada mereka jika saya hebohkan. Tapi apabila dibiarkan saya rasa amat kecewa kerana ketika nak bagi sumbangan, mereka buat majlis besar-besaran. Jadi tak salah kalau saya juga bertindak adakan sidang media untuk jelaskan perkara sebenar sekiranya saya nak buat," katanya.

Effa berkata, dia hanya menerima RM20,000 dan setiapkali menghubungi ahli perniagaan ini untuk bertanyakan baki, pelbagai alasan diberikan.

"Pernah juga dia berikan saya cek berjumlah RM80,000 tapi selepas dimasukkan dalam akaun, didapati itu cek tendang. Banyak lagi alasan tak masuk akal yang diberikan.

"Berkenaan rumah pula, memang dia janjikan rumah mewah apabila mendapat tahu kami akan berpindah ke rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman, Kepong.

"Sepatutnya saya akan berpindah pada awal Jun tapi memandangkan dia berjanji untuk menghadiahkan rumah lain, saya tangguhkan dulu hasrat untuk berpindah," katanya.

Kata Effa, mujurlah dia tidak menyerahkan kembali rumah itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana ia sukar diperolehi semula nanti.

"Sebelum itu, saya berbincang dengan pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave dan dia menyarankan kami agar jangan terburu-buru buat keputusan.

"Kami akhirnya berpindah masuk ke rumah itu pada awal Ogos lalu. Saya akui sangat kecewa kerana dipermainkan oleh dia.

"Kenapa budak kecil berusia 23 tahun mainkan orang tua macam ini? Kenapa nak perbodohkan kami. Lagipun bukan kami yang minta wang ini tapi dia yang janji nak bagi," katanya.

Paling dikesalkan oleh Effa, apa yang dibuat oleh ahli perniagaan ini seakan menghina suaminya dan ibarat mempergunakan artis untuk kepentingan sendiri.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 7:58pm
d