rap

Muahciked: Berdebar tunggu ABPBH

Oleh Ayda Jebat

Assalammualaikum dan selamat hujung minggu semua. Hari ini, Adik sangat berdebar.

Seperti yang ramai sedia maklum, malam ini sangat istimewa kerana akan berlangsungnya Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

Sama seperti penganjuran terdahulu, majlis berprestij ini berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menang atau tewas adat bertanding dan Adik serahkan semuanya kepada ketentuan Allah SWT.

Apa pun, sudah semestinya ada memori indah yang masih segar di ingatan Adik hingga kini iaitu kemenangan bermakna di Anugerah Planet Muzik 2018 (APM 2018), baru-baru ini.

Kejayaan lagu Mata memenangi trofi Lagu Terbaik Malaysia diakui sangat bermakna buat Adik.

Segala usaha dan penat lelah Adik dalam berkarya menghasilkan lagu yang mantap melodi serta liriknya mendapat pengiktirafan.

Namun, Adik akui ucapan teruja memenangi trofi Lagu Terbaik Malaysia di APM 2018 itu membuatkan ramai tersinggung.

Adik memohon maaf di atas keterlanjuran kata-kata itu tetapi ia luahan sebenar isi hati Adik.

Apa yang Adik ucapkan itu bukan perkara yang cuba direka untuk menagih publisiti namun berasaskan fakta.

Terima kasih kepada barisan juri daripada beberapa negara Asia yang menilai karya Mata sebaik mungkin.

Kejayaan di APM 2018 menjadi pembakar semangat buat Adik untuk terus berusaha menghasilkan karya bermutu.

Selain kenangan manis itu, hati Adik terusik dengan laporan berita kejadian lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong pada malam Rabu lalu yang mengorbankan nyawa enam anggota bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

Betapa murni dan ikhlas mereka berkhidmat sehingga nyawa jadi taruhan.

Misi menyelamat seorang remaja yang jatuh lombong pada jam 9.15 malam akhirnya berubah menjadi tragedi menyayat hati.

Seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan latar agama turut sama bersedih dengan tragedi itu.

Al-Fatihah Adik titipkan buat enam wira negara yang terkorban kerana bakti murni hingga ke akhir hayat.

Semoga diberikan ketenangan dan damailah wira negara yang terpilih di sisi Allah SWT, pencipta sekalian alam.

Takziah Adik ucapkan kepada keluarga anggota bomba terkorban iaitu Allahyarham Mohd Fatah Hashim, Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim, Allahyarham Mazlan Omarbaki, Allahyarham Yahya Ali, Allahyarham Adnan Othman dan Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari.

Diharapkan anggota keluarga mangsa tabah dan sabar dalam menghadapi ujian yang berat ini. Semestinya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Adik juga ucapkan takziah kepada keluarga remaja yang meninggal dunia akibat lemas di lombong sama iaitu Allahyarham Mohd Ilham Fahmy Mohd Azzam, 17.

Semoga tragedi yang berlaku ini memberi pengajaran dan iktibar buat kita semua. #selamatjalanwiranegara

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 2:21am
d