rap

Wany Hasrita pecah dominasi

Oleh Najiy Jefri

“INI satu tanggungjawab besar untuk saya. Bukan mudah artis yang baru dua tahun dalam industri seni seperti saya dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.”

Begitu kata penyanyi Wani Hasrita mengenai kemenangannya pada Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH 31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam semalam.

Kemenangan Wani Hasrita sekali gus memecahkan tradisi selama sembilan tahun yang dimenangi pelakon sebagai Bintang Paling Popular.

Kali terakhir penyanyi memenangi kategori utama itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza pada ABPBH ke 22.

“Saya tidak menjangka akan menang besar, malam ini (semalam) malah saya juga baru tahu saya penyanyi yang menang selepas sembilan tahun dimenangi oleh pelakon.

“Kemenangan ini juga mengubat kekecewaan peminat saya tahun lalu kerana pulang dengan tangan kosong.

“Saya berharap kemenangan ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja dan semoga perjalanan seni saya terus konsisten dan bertahan utuh,” katanya.

Menurut Wani, dia berharap kejayaan yang diraih tidak membuatkan dia hanyut dibuai arus populariti.

“Saya harap anugerah yang dimenangi ini tidak membutkan saya leka dengan kesenangan serta populariti yang diterima.

“Doakan agar saya jadi insan yang lebih berjaya. Kemenangan ini adalah kerja keras peminat yang tidak berbelah bahagi.

“Peminat yang membuatkan kemenangan ini menjadi realiti. Terima kasih kerana mengundi dan menyokong saya,” katanya.

Selain dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Wani turut meraih trofi Penyanyi Wanita Popular.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 1:05am
d