rap

Harapan baru Aishah

Oleh Norhayati Nordin

KECINTAAN penyanyi lagu Janji Manismu, Aishah terhadap bidang nyanyian tidak pernah pudar.

Kemunculan single barunya berjudul Malar, ciptaan penyanyi dan komposer, Hazami kini menjadi taruhan Aishah.

Berharap single Malar menyerlahkan semula namanya di pentas nyanyian, Aishah berterima kasih dengan sokongan yang diberikan peminat.

Menurut Aishah, tawaran menjayakan persembahan masih ada dan diharap ia menjadi permulaan yang baik buat kariernya.

“Saya bersyukur dengan rezeki dan perancangan ditetapkan Allah SWT.

“Apatah lagi, dengan adanya single Malar membuatkan saya kembali dengan harapan baru,” katanya.

Ibu dua anak lelaki ini berkata dia mengharapkan single Malar akan mendapat sambutan baik pendengar.

“Saya gembira dapat bekerjasama dengan Hazami dalam menghasilkan single ini.

“Terima kasih Hazami kerana menghasilkan karya yang bagus buat saya. Malar cukup bermakna buat saya malah melodi serta liriknya mantap,” katanya.

Mengulas kekecewaan berhubung pembabitan dalam program realiti TV, Aishah berkata dia memilih bersikap optimis.

“Saya tidaklah sampai trauma untuk menyertai pertandingan di TV. Cuma, apa yang saya harapkan adalah ketelusan pihak penaja yang sediakan hadiah dan badan penyiaran,” katanya.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin menafikan berasa kesal dengan nasib yang menimpanya.

“Nak kesal sangat pun tidak boleh kerana perkara sudah berlaku. Apa yang boleh dilakukan adalah tuntut keadilan.

“Mengikut kaedah perundangan yang betul, saya perlu berani tampil membela diri,” katanya.

Terdahulu, Aishah menerusi peguamnya daripada Tetuan Khairul Mukhtar & Izwan Azmi membuat tuntutan kepada seorang pengusaha produk kecantikan terkenal.

“Ada dua tuntutan saya kemukakan iaitu membabitkan seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti dihebohkan pengusaha produk kecantikan itu.

“Tuntutan kedua saya meminta beliau (pihak berkenaan) tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi media,” katanya.

Menurut Aishah, pengusaha produk kecantikan itu diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab serta mematuhi tuntutan yang dibuat.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 5:30am
d