rap

Bukan pergunakan zuriat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Anak selebriti sentiasa mendapat liputan meluas bukan saja daripada media bahkan diberi perhatian oleh peminat, terutama netizen di media sosial.

Bagi penyanyi Black Hanifah, perhatian yang diberikan kepada anaknya, Khaleef Dayyan adalah rezeki.

Black ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia tidak mempergunakan anaknya sebaliknya menganggap itu sebagai tuah.

“Setiap orang ada cara tersendiri dalam mendidik anak. Untuk saya dan isteri, kami ada cara tersendiri.

“Anak itu adalah rezeki. Kalau ada yang menganggap kami mempergunakan anak, mereka silap. Saya yakin, kalau anak orang lain pun punya bakat dan dikenali sebagaimana Dayyan, mereka akan faham,” katanya.

Black juga berkata, Dayyan kini sudah mula menunjukkan minat dalam bidang muzik.

“Apa yang saya lihat, dia sudah mula menunjukkan minat dalam bidang muzik dan tidak kekok setiap kali beraksi depan kamera. Jelas sekali, darah seni mengalir dalam tubuhnya.

“Saya akan menghantarnya ke kelas dram dan piano. Tidak hanya itu, saya akan hantar dia ke kelas renang kerana dia sangat sukakan aktiviti itu,“ katanya.

Namun, Black akan memastikan apa yang diberikan kepada anak sulungnya itu tidak terlalu berlebihan.

“Memang saya ikutkan saja apa yang dia minat tetapi tidaklah terlalu berlebih-lebihan kerana tak mahu dia pijak kepala saya pula.

“Jadi, apabila meningkat dewasa, dia perlu ikut pula apa kehendak saya contohnya, kalau minta dia untuk belajar dalam bidang undang-undang, dia kena turuti.

“Apa yang pasti, biarlah ilmu dalam dunia seni dan pendidikan formal bergerak seiring,” katanya.

Tahun depan, Dayyan akan masuk usia empat tahun dan mula bersekolah.

“Saya dan isteri merancang menghantarnya ke sekolah bermula tahun depan. Jadi, apabila sudah masuk sekolah, saya akan hadkan aktiviti seninya,“ katanya.

Terbaru, Black hadir dengan single berjudul #Pokpet yang turut menampilkan isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira serta Dayyan.

“Lagu itu saya hasilkan khas untuk wanita yang sudah berumah tangga dan juga isteri saya sendiri.

“Dayyan suka mencuba dan buat benda baru. Jadi, saya letakkan dia di dalam studio dan saya pantau dari luar. Nampaknya, dia selesa berada dalam studio untuk rakaman lagu ini,” katanya.

Dalam lagu yang video muziknya akan dilancarkan malam ini, suara Dayyan turut dirakamkan dan menjadi sebahagian daripada lagu itu.

“Ada bahagian yang dia menyanyikan 'Pokpet pokpet'. Ia akan jadi karya yang 'catchy' dan sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 12:00pm
d