rap

Single baru bersama anak

Oleh Norhayati Nordin

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, begitulah juga bakat seni Datuk Hattan yang diwarisi anak lelaki tunggalnya, Adam.

Seiring perkembangan bidang muzik masa kini, Hattan, 53, turut menghasilkan single baru bersama anaknya.

Menurut penyanyi lagu Memburu Rindu ini, dia sudah merakamkan single berjudul Tak Pasti Jangan Kongsi.

“Single baru ini saya rakam bersama Adam tetapi belum ada masa untuk kami buat sebarang promosi.

“Ini kerana anak saya sudah sibuk dengan aktiviti kuliah di universiti dan tidak mahu mengganggunya.

“Bagi saya, biarlah Adam tumpukan sepenuh perhatian pada pelajarannya lebih dulu kerana ia amat penting,” katanya.

Hattan berkata untuk single Tak Pasti Jangan Kongsi itu, Adam bertindak sebagai penyanyi rap.

Berbicara perkembangan karier nyanyiannya, Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin menzahirkan rasa syukur masih ada tawaran menjayakan persembahan.

“Saya sentiasa bersikap terbuka menerima tawaran persembahan daripada pelbagai pihak yang sudi bekerjasama.

“Sebagai penyanyi, saya perlu profesional ketika bekerja kerana itu sumber pendapatan.

“Syukur, setakat ini masih ada pihak berminat panggil saya menyanyi,” katanya.

Berkongsi mengenai bakat anaknya, Hattan berkata sebagai bapa beliau sangat kagum dengan kebijaksanaan Adam.

“Adam anak yang bijak. Dia juga berbakat dalam bidang muzik.

“Di rumah ada satu studio peribadi milik Adam untuk dia menghabiskan masa berkarya dan bermain muzik,” katanya.

Hattan turut mengagumi kemampuan anaknya belajar bermain muzik menerusi YouTube.

Perkembangan lain, Hattan akan menggalas tanggungjawab sebagai penerbit sebuah program realiti tidak lama lagi.

“Program realiti TV ini mempunyai lapan episod dan apa konsepnya serta stesen TV biarlah rahsia.

“Saya tidak mahu terlalu bercerita mengenai program realiti ini sehingga majlis sidang media.

“Apatah lagi, saya juga perlu menghormati pihak stesen TV yang akan bekerjasama untuk program itu nanti,” katanya.

Sabtu lalu, Hattan menjayakan persembahan Konsert Picnic @ PD di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Selain Hattan, barisan penyanyi lain yang turut memeriahkan acara itu ialah Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ito (Blues Gang), Blank Gamma, kumpulan Khalifah dan Wany Hasrita.

Pelawak dan pelakon berbakat Saiful Apek dan personaliti TV Shakila Ismail pula bertindak sebagai pengacara konsert.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 2:00pm
d