rap

'Saya akur... rezeki Fattah'

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON Syafiq Kyle menafikan dakwaan dirinya kecewa kerana tewas pada Fattah Amin walaupun namanya disebut-sebut bakal mengungguli kategori Pelakon TV Lelaki Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 yang berlangsung, semalam.

Menurut pelakon filem Langsuir itu, dia juga akur dengan keputusan penganjur ABPBH.

“Saya tidak berasa kecewa kerana tewas pada Fattah kerana dia juga layak untuk dalam menang kategori terbabit.

“Saya percaya semuanya bergantung pada soal rezeki dan peminat Fattah juga bekerja keras untuk memastikan kemenangannya pada malam itu.

“Fattah masih relevan dalam industri seni dan dia memiliki sikap yang baik dan ramai orang suka,”katanya kepada Harian Metro.

Mengulas komen rata-rata peminat di laman instagram yang kecewa kerana kekalahannya itu, Syafiq menyedari perkara itu.

“Saya sedar ramai peminat kecewa dengan kekalahan itu tetapi mereka boleh bekerja keras lagi untuk mengundi pada tahun depan.

“Saya sentiasa menghargai undian dan sokongan peminat sejak dulu sampai sekarang,” katanya.

Pada masa sama, Syafiq mengakui dia tidak mengejar populariti dalam bidang seni tanah air.

“Walaupun tewas, saya sentiasa positif kerana apa yang penting karya dihasilkan serta lakonan meninggalkan kesan mendalam pada penonton,”katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 5:47pm
d