rap

Penat bekerja Alif ke Reykjavik...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, pelakon dan pengacara, Alif Satar, 28, ingin berehat seketika selepas bekerja keras tanpa henti selama hampir sembilan bulan.

Kerja kerasnya itu tidak hanya kepada bidang seni semata-mata tetapi juga hobinya dalam sukan triathlon.

“Hari ini (Selasa), saya bersama isteri akan terbang ke Iceland untuk bercuti selama 10 hari. Di sana, saya akan tenangkan fikiran selepas penat bekerja,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, percutian itu adalah hadiah untuk dirinya dan juga isteri.

“Bukan saja untuk ‘membayar’ penat lelah saya bekerja, tetapi juga untuk isteri. ‘Work hard, play hard’.

“Seperti yang semua sedia maklum, saya sibuk dengan kerja-kerja seni termasuklah pengacaraan untuk program Its Alif.

“Selain itu, saya juga bekerja keras menjalani latihan sejak lapan ke sembilan bulan lalu untuk menyertai pertandingan Ironman Langkawi Challenge 2018 yang akan berlangsung pada 17 November ini,” katanya.

Untuk percutian ini, Alif tidak membawa anak-anaknya bersama.

“Sebelum ini, saya dah bawa anak-anak untuk bercuti di Thailand. Jadi, kali ini, saya cuma bercuti bersama isteri.

“Saya jenis yang sukakan percutian di bandar, tapi kali ini, isteri menyarankan agar kami ke destinasi percutian yang berbeza dan lebih kepada alam semulajadi,” katanya.

Terbaru, Alif berjaya mengungguli kategori Artis Versatil Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH 31 (ABPBH31) yang berlangsung Ahad lalu.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 3:33pm
d