rap

'Kenapa padam status tu?'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“Kalau itu pendapatnya, kenapa buang status berkenaan? Sepatutnya dia kena tetapkan pendirian,” kata penyanyi Wany Hasrita mengenai status dimuat naik pelakon Fatiya Latiff di Instagram yang dikatakan mempertikai kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABPBH31), Ahad lalu.

Wany, 26, atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, dia tidak mengenali secara peribadi dan tidak pernah bersua muka dengan pelakon itu.

Menurut Wany, dia tetap menghormati setiap kritikan dilemparkan baik dalam kalangan artis atau netizen.

“Saya tidak mahu bercakap daripada artis kepada artis, tetapi lebih kepada pandangan individu kepada individu. Saya faham semua orang ada pendapat sendiri.

“Mungkin dia merasakan itu betul, jadi kita kena hormati pendiriannya. Saya sedikit pun tidak kecewa kerana saya tidak rapat dengannya (Fatiya).

“Bagi saya, itu pendapat peribadinya. Sepatutnya jangan buang status itu kerana ia menunjukkan pendirian kita,” katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Fatiya memuat naik status di Instagram yang beranggapan Wany tidak layak menang selain menyifatkan penyanyi itu memiliki suara seperti katak.

Bagaimanapun, status berkenaan dipadam tidak lama kemudian.

Wany berkata, hingga sekarang dia masih terkejut dan tidak menjangka akan memenangi kategori utama itu.

Wany yang popular menerusi lagu Menahan Rindu juga tidak kisah jika orang ramai terus mempersoalkan kemenangannya itu.

“Kalau saya menjadi mereka pun, saya akan tertanya-tanya kenapa boleh menang. Tetapi apabila berbalik kepada soal rezeki, ia memang tidak boleh dijangka.

“Saya juga terkejut keputusan malam itu dan begitu juga dengan peminat saya. Mereka memang fokus kepada kategori Penyanyi Wanita Popular. Jadi, mereka memang ‘pulun’ untuk kategori ini,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan Fatiya berhubung dakwaannya itu tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan tidak membalas mesej WhatsApp.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 3:54pm
d