rap

Dulu Angkat Kaki sekarang Angkat Tangan...

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SELEPAS menyanyikan lagu popular berjudul Angkat Kaki yang sudah menjangkau usia 22 tahun, penyanyi Sheeda Dangdut akan tampil dengan lagu terbaru berjudul Angkat Tangan pula.

Sheeda, 54, berkata, Angkat Tangan ciptaan adik Iwan iaitu Junior manakala liriknya oleh anak Iwan iaitu Wan Ramada adalah kesinambungan daripada lagu yang dihasilkan oleh Iwan.

“Ia membawa maksud saya kotakan apa yang dikata sebelum ini iaitu untuk melakukan perubahan dalam hidup. Angkat Tangan adalah gambaran diri saya sekarang yang dah berhijab.

“Lagu ini ada simbolik yang mendalam mengenai perubahan yang dialami oleh saya sekarang berbanding dahulu.

“Lirik Angkat Tangan masih berkisarkan mengenai cinta dan memang saya sengaja minta dihasilkan konsepnya sama dengan Angkat Kaki kerana peminat termasuk generasi baru kenal saya menerusi lagu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sheeda, perubahan imej ini turut mendapat respon positif daripada peminat yang sudah lama mengikuti perkembangan kariernya.

“Saya tak pernah berniat untuk bersara daripada bidang seni tapi cuba melakukan perubahan ke arah yang lebih positif.

“Orang nak kecam atau tak suka itu biasalah kerana masing-masing ada pendapat sendiri. Saya perlu terus menyanyi kerana ia sumber pendapatan saya sejak dulu.

“Saya ada tanggungjawab terhadap keluarga dan minta peminat-peminat faham kenapa saya masih menyanyi. Kalau saya dah kaya, mungkin saya dah beralih arah buat benda lain,” katanya.

Kata Sheeda, dia kini cuba mencari sesuatu yang berbeza apabila menceburi bidang perniagaan menjual tudung pula.

“Saya namakannya Hijab Sheeda dan ia baru sahaja bermula. Ia adalah produk mampu milik dan sasaran saya ialah pelajar-pelajar sekolah.

“Saya menyedari mereka tak mampu beli tudung yang mahal dan cuba hasilkan tudung yang agak murah namun kualitinya tetap bagus.

“Setakat ini saya mendapat sokongan daripada kawan-kawan yang banyak memborong daripada saya,” katanya.

Dalam pada itu, selepas Bienda, Sheeda memperkenalkan seorang lagi anaknya, Alin, 18, sebagai penyanyi.

“Alin minat menyanyi dan saya berikan sokongan kepadanya. Dia tampil berduet dengan saya menerusi lagu Sakti.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 5:04pm
d