rap

Banglo buat ibu

Oleh Michelle Gun

PERSONALITI fesyen, Wak Doyok membangunkan rumah banglo buat ibunya sebagai tanda penghargaan kepada wanita itu.

Difahamkan, rumah itu dibangunkan di atas tapak rumah lama yang didiami keluarga personaliti fesyen itu.

Wak Doyok dalam perkongsiannya di Instagram berkata, dia bersyukur dapat membalas jasa orang tuanya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT hari ini dapat senyumkan, ketawakan, gembirakan ibu yang selama ini menjaga, membesarkan dan memberi pendidikan akhlak baik untuk menjadikan saya insan yang berbakti kepada kedua ibu bapa saya.

“Tiada yang berharga dalam hidup saya untuk membahagiakan ibu dan bapa,” katanya.

Wak Doyok atau nama sebenar Mohd Azwan Md Nor, 39, berkata, banglo itu dibangunkan hasil titik peluhnya mencari rezeki selama beberapa tahun.

“Saya bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki. Selama beberapa tahun, saya usahakan dengan menggunakan nama Wak Doyok, walaupun dicaci, dihina dan dimaki di media sosial,” katanya.

Jelas pelakon dan pengacara ini, tujuan dia berkongsi berita baik itu di media sosial bukan untuk menunjuk-nunjuk.

“Saya bukan hendak menunjuk-nunjuk, tetapi ini hadiah khas untuk ibu yang berusia 76 tahun. Saya berikan sedikit keselesaan untuk dia menikmati sisa-sisa hidupnya di rumah baru ini,” katanya.

Menurut Wak Doyok, dia dan keluarganya pernah hidup dalam rumah usang yang dihuni anai-anai.

“Dulu saya pernah hidup susah. Betapa peritnya saya lalui liku-liku hidup untuk berada di tahap sekarang. Saya berjaya atas berkat kedua ibu bapa,” ujarnya.

Bagi Wak Doyok, kekasih dan isteri boleh dicari pada bila-bila masa, namun ibu hanya satu.

“Matlamat saya untuk keluarga dan selagi ibu ada, selagi itu saya akan terus menjaga dia,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 4:15pm
d