rap

Karya arwah Pak Ngah dihargai di Indonesia [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KOMPOSER terkenal, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah menerima Penghargaan Khusus Maestro Musik Melayu pada Anugerah Dangdut Indonesia 2018 yang berlangsung di Jakarta, kelmarin.

Pengiktirafan itu diberikan penganjur iaitu stesen televisyen Indosiar atas sumbangan dan jasa Pak Ngah dalam mengembangkan muzik irama Malaysia dan Melayu di sana.

Dalam masa sama, Pak Ngah juga mewakili negara sebagai juri pada pertandingan Dangdut Academy Asia (DAA) dari musim pertama hingga ketiga.

Anak Allahyarham, Megat Mohd Syahrini, 31, ketika dihubungi berkata, itu pencapaian tertinggi diterima arwah bapanya selepas meninggal dunia pada 25 September lalu.

“Arwah memang dijemput menghadiri acara ini kerana lagu ciptaannya, Putri Impian nyanyian penyanyi dangdut Indonesia, Nassar tercalon dalam kategori Lagu Dangdut Terpopuler. Selain itu, pihak penganjur juga ingin memberikan penghargaan itu.

“Namun, tidak menjangka pula arwah pergi sebelum acara berlangsung. Bukan saja penghargaan itu, pihak Indosiar juga mengadakan segmen khas iaitu ‘tribute’ buat arwah bapa menerusi tayangan video dan nyanyian lagu Nirmala yang disampaikan oleh bekas peserta DAA, Danang, Weny, Lesty dan Wildan.

“Saya sangat menghargai usaha pihak Indosiar dan ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Ibu Linda, Pak Ekin, Ibu Sally dan Ibu Harsiwi dari Indosiar yang banyak bekerjasama dan menaikkan nama arwah bapa di sana,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, lagu itu tewas kepada lagu Lagi Syantik nyanyian Siti Badriah.

Pada acara itu, balu Allahyarham iaitu Datin Sharifah Mahani Syed Kasim atau Mak Ngah serta dua anak mewakili arwah bagi menerima pengiktirafan itu.

Dalam masa sama, Megat berkongsi bapanya sempat menghasilkan dua lagu sebelum meninggal dunia.

“Bapa ada menghasilkan dua lagu iaitu lagu solo dan duet. Lagu solo untuk penyanyi lelaki dan duet membabitkan penyanyi wanita dan lelaki.

“Lagu solo itu sudah siap dirakam dan lagu duet pula baru siap melodi. Insya-Allah, saya akan meneruskan projek ini dan lancarkan apabila siap sepenuhnya. Siapa penyanyi, saya belum boleh kongsikan.

“Malah, saya bersama mak dan kakak akan teruskan legasi arwah bapa menerusi Pak Ngah Production Sdn Bhd. Selain itu, pihak Indosiar juga menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama dengan kami meskipun Pak Ngah sudah tiada,” katanya.

Selain dua lagu yang bakal dilancarkan, karya terakhir Pak Ngah dinyanyikan Nassar menerusi lagu Putri Impian.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 11:11am
d