rap

Tahniah Aidit Noh

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Aidit Noh lega akhirnya berjaya menggenggam skrol Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Pesawat dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selepas menempuh pengajian selama enam tahun.

Aidit, 24, berkata, dia berjaya menunaikan impian ibu bapanya yang mahukan dia mengambil jurusan berkenaan sekali gus mendedikasikan kejayaan itu kepada orang tuanya.

“Sebenarnya, bapa teringin melihat saya menjadi jurutera pesawat. Bagaimanapun, saya beritahu biar jurutera yang bekerja untuk saya satu hari nanti.

“Apapun, saya lega berjaya mendapatkan skrol itu sekali gus menunaikan impian ibu bapa. Sekarang saya mahu mendapatkan sijil perniagaan untuk meneruskan impian dalam bidang itu pula.

“Penantian enam tahun untuk menggenggam skrol itu ternyata cukup berbaloi. Terima kasih Allah, ibu bapa, pensyarah serta rakan-rakan yang percaya dan menyokong saya,” katanya yang menghadiri konvokesyen semalam.

Berkongsi perancangan selepas ini, pelakon siri Meh Sandar Pada Aku itu bagaimanapun akan menfokuskan kepada perniagaannya dan tidak berhasrat menjadi jurutera pesawat.

Selain itu, dia juga masih akan tetap berlakon, namun akan mengambil tawaran mengikut kelapangan waktu.

“Dulu saya memang minat kejuruteraan pesawat, namun selepas itu lebih cenderung kepada perniagaan. Fokus utama sekarang adalah mengembangkan perniagaan fesyen dan kosmetik saya.

“Untuk lakonan pula, saya akan memilih tawaran yang benar-benar kena pada masa lapang saya nanti. Saya cuma banyak ambil telemovie saja kebelakangan ini disebabkan penggambaran singkat,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 11:30am
d