rap

Jaa, Eyka cemas di Heathrow

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON Jaa Suzuran, 24, Eyka Farhana, 23, dan pembantu peribadi mereka berdepan detik cemas apabila ditahan hampir satu jam oleh pihak imigresen di lapangan terbang antarabangsa Heathrow, London, kelmarin.

"Ketika beratur di kaunter imigresen, tiba-tiba kami ditahan dan disoal siasat mengenai tujuan kami berdua berada di negara ini.

"Kami menjelaskan akan menjalani penggambaran filem dan pihak mereka (imigresen) tanya pelbagai soalan seolah-olah kami pendatang tanpa izin," kata Eyka.

Isu itu dipercayai berlaku kerana salah faham antara mereka dan pihak imigresen kerana kedua-dua pelakon itu pertama kali berada di negara ini.

Eyka berkata dia ditahan kerana pihak imigresen meragui dirinya sebagai pelakon dan jumlah wang dibawa.

Manakala pembantu peribadi mereka pula ditahan kerana membawa tiga kotak besar mengandungi mi segera yang dipesan kru produksi di sini.

"Mereka ingat pembantu kami nak berniaga mi segera di sini, saya pula dipersoal kenapa datang untuk berlakon selepas memberitahu pekerjaan sebenar sebagai penyampai radio.

"Saya pula tidak berapa pandai 'speaking' dan apabila mereka tanya macam-macam saya jadi 'blur' dan ketawa saja," kata Jaa pula.

Mereka berkata selepas berjaya menghubungi pengarah filem, Rahila Ali dan menjelaskan situasi sebenar barulah kami dilepaskan.

Mereka berada di United Kingdom selama seminggu bagi menjalani penggambaran filem romantik komedi berjudul Cinta 'Secondhand' terbitan Pencil Pictures & Records Sdn Bhd.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 9:17am
d