rap

Bunkface belum 'level' legenda

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BAND pop punk, Bunkface tidak mahu dilabel sebagai legenda kerana mereka mahu terus bersaing dengan penyanyi-penyanyi dan kumpulan generasi baru.

Sam selaku vokalis kumpulan itu berkata, usia karier mereka selama 12 tahun belum cukup untuk meletakkan mereka di tahap yang tinggi di dalam industri.

“Walaupun sudah 12 tahun berada di dalam industri, kami masih lagi belajar dan banyak benda lagi yang kami ingin teroka.

“Jangan panggil kami legenda kerana kami ingin terus bersaing secara sihat dengan penyanyi-penyanyi generasi baru,” katanya mewakili rakan lain iaitu Youk dan Paan.

Kerana itu, Bunkface kini hadir dengan single terbaru berjudul Shiver yang lari daripada genre muzik yang mereka perjuangkan sejak awal kemunculan di dalam industri.

“Walaupun kami dikenali sebagai band yang mempertaruhkan lagu-lagu bergenre pop punk, namun kami sebenarnya bereksperimen dengan muzik terutama muzik pop itu sendiri.

“Shiver adalah lagu pop yang kami sesuaikan dengan kehendak peminat zaman sekarang. Dalam kata lain, ini adalah nafas baru yang Bunkface cuba perkenalkan dalam muzik kami,” katanya.

Kali terakhir Bunkface hadir dengan single berbahasa Inggeris adalah enam tahun lalu dan kini seperti ingin mengimbau kembali asal usul mereka.

“Kami memulakan langkah di dalam industri dengan lagu Inggeris dan kemudian, kami campurkan dengan lagu Melayu sehinggalah kali terakhir kami keluarkan lagu Inggeris, enam tahun lalu.

“Jadi, dengan adanya lagu Inggeris berjudul Shiver ini, ia dapat mengimbau kembali zaman di awal kemunculan kami dan pada masa sama, mengingatkan kepada asal-usul muzik kami,” kata Youk selaku bassis.

Terbaru, Bunkface akan hadir dengan album terbaru mereka berjudul Pop.

“Album Pop akan dilancarkan menjelang awal tahun depan. Dalam album ini, kami muatkan empat lagu Melayu dan empat lagu Inggeris.

“Antara lagu yang akan dimuatkan adalah Shiver yang dilancarkan pada hari ini, dan Apa Pun Tak Boleh hasil kolaborasi bersama Datuk Jeffrydin dan Caprice,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 7:27pm
d