rap

Nasi lemak DJ Faiz dapat sambutan

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PENYAMPAI radio IKIM fm, Faiz Othman tidak sangka percubaannya menjual nasi lemak dan tauhu begedil di Glasgow, Scotland sejak Julai lalu mendapat sambutan memberangsangkan.

Dia bercuti di sini sejak lima bulan lalu kerana menemani isteri, Liana Raja Omar yang berada dalam tahun akhir pengajian Doktor Falsafah bidang Pelancongan di Universiti Strathclyde, Glasgow.

"Selama berada di sini, saya tidak tahu nak buat apa, jadi terfikir untuk jual nasi lemak dan tauhu begedil.

"Apabila isteri tidak sibuk dengan kelas, dia turut membantu menyediakan menu kuih muih seperti karipap dan onde-onde," katanya.

Katanya, dia membuka tempahan tiga kali seminggu dan bersyukur sambutan sangat menggalakkan dari pelanggan tempatan di sini.

Ketika ditemui, dia akui pernah mendapat tempahan lebih 30 bungkus nasi lemak untuk satu kali tempahan dalam seminggu yang dijual pada harga £3.50 (RM19) sebungkus.

Katanya, kebanyakan tempahan datang daripada rakyat Malaysia yang sudah lama menetap di sini dan merindui makanan asli Malaysia.

Selain menjual juadah Malaysia, dia turut diberi peluang berlakon dalam sebuah telefilem berjudul Aku Bukan Gila lakonan bersama Beto Kusyairy dan Fasha Sandha arahan Rahila Ali yang dijangka menjalani penggambaran di Wales, minggu depan.

Faiz dijangka kembali ke konti radio IKIM fm sebaik saja isterinya menamatkan pengajiannya, November depan.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 10:01am
d