rap

Nourul Depp dah pilih nama bayi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Nourul Depp yang kini hamil anak keempat mahu menamakan bayi yang bakal lahir itu Isabella sempena judul lagu Search jika ia perempuan.

Sehubungan itu, Nourul, 41, turut meminta peminat mendoakan bayi yang bakal dilahirkan itu perempuan dan semanis anak sulungnya, Ayu.

Bagaimanapun, Nourul yang dijangka bersalin Mei tahun depan tetap bersyukur jika dikurniakan anak lelaki.

“Jika itu yang terbaik buat kami, mohon Allah izinkan tetapi jika sebaliknya, tidak mengapa.

“Jika lelaki, kena buka buku nama sebab tidak terfikir lagi. Hanya Allah yang maha mengetahui apa yang terbaik buat semua hamba-Nya," katanya.

Dalam masa sama, Nourul berkongsi ujian imbasan kehamilan di Instagram turut meluahkan rasa teruja hamil anak keempat sama seperti kehamilan anak pertama dahulu.

"Terkesima dan tidak tahu nak kata apa. Betapa besarnya kuasa Allah. Walaupun masuk anak keempat, tetap rasa teruja sama seperti anak pertama.

"Saya ambil keputusan untuk berkongsi rahmat Allah ini dengan semua. Nanti dalam bilik bersalin saja tidak boleh masuk dan tengok," katanya.

Nourul yang berkahwin dengan lelaki Perancis, Eric Daniel Depp, 52, dikurniakan dua anak lelaki iaitu Zachary Depp, 5, dan Raphael Depp, 3.

Bersama bekas suaminya, Ajai, mereka mempunyai anak perempuan, Ayu Nazirah yang kini berusia 20 tahun.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 2:44pm
d