rap

'Biar bijak pilih kawan' - Wany Hasrita

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Wany Hasrita, 26, berkongsi pengalaman dirinya pernah menjadi mangsa buli siber di media sosialnya sejak bergelar artis.

Pengalaman itu dikongsikan Wany dengan lebih 4,000 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang, hari ini menerusi kempen dikenali sebagai Zon Bebas Buli.

“Saya tidak pernah mengalami pengalaman dibuli secara fizikal. Mungkin kerana ketika zaman sekolah, saya jenis orang yang lantang.

“Tapi, sejak menjadi artis, saya pernah menjadi mangsa buli siber dan paling saya ingat, adalah ketika menyertai Anugerah Juara Lagu dan yang terbaru, selepas memenangi Anugerah Artis Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH, baru-baru ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pada peringkat awal, setiap komen-komen keterlaluan netizen yang dianggap sebagai buli siber itu dipadam dan disekat.

“Pada peringkat awal, saya memadam dan menyekat setiap komen negatif yang saya rasa keterlaluan. Kalau boleh, saya tak mahu benda-benda negatif itu ada di Instagram saya.

“Bukan apa, takut nanti ia menjadi medan perbalahan. Daripada menambah dosa orang kepada orang lain dan menyakitkan hati saya, baik saya padam,” katanya.

Ketika muncul di depan ribuan pelajar sekolah itu, Wany turut berkongsi beberapa peringatan buat mereka.

“Saya berpesan kepada mereka supaya bijak memilih kawan. Biarlah kita dikelilingi oleh kawan-kawan yang bersikap positif kerana itu akan membuatkan kita yang pernah dibuli, akan rasa lebih tenang.

“Selain itu, keluarga juga memainkan peranan penting untuk membantu memulihkan semangat mangsa buli,” katanya.

Selain berkempen di beberapa lokasi, Wany juga terbabit dalam satu penggambaran video pendek berkaitan anti buli.

“Dalam video itu, saya berlakon sebagai pelajar sekolah yang dibuli secara fizikal dan selepas dewasa, menjadi mangsa buli siber.

“Harapnya, ada mesej positif yang dapat diambil oleh mereka yang menonton dan semoga itu dapat menaikkan semula semangat mereka,” katanya.

Wany akan turut serta dalam kempen Zon Bebas Buli bermula hari ini sehingga Disember.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 4:27pm
d