rap

Wany Hasrita idola Ayana Jihye Moon

Oleh Norhayati Nordin

WANY Hasrita tidak menduga penampilannya yang sederhana menjadi inspirasi kepada Instafamous muslimah mualaf diminati ramai di negara ini dan Indonesia, Ayana Jihye Moon.

Wany, 26, berkata, dia tidak menyangka menjadi selebriti idola kepada Ayana, 23, yang begitu meminatinya.

Menurut Wany, dia juga kagum dengan semangat kental gadis itu yang tabah melayari kehidupannya di negara asing demi mendalami agama Islam.

"Saya sangat terharu apabila mengetahui serba sedikit kisah hidup Ayana yang sanggup berhijrah ke Malaysia demi mendalami agama Islam yang dianutinya kini.

"Dia juga begitu cekal dan tabah dalam meneruskan kembara ilmunya terhadap Islam dan berusaha mempersiapkan diri menjadi muslimah sejati," kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ini.

Menurut Wany, dia turut melihat Ayana sebagai gadis yang tenang dan memiliki keyakinan diri tinggi.

“Pertemuan dua kali bersama Ayana cukup membuatkan saya selesa kerana dia seorang gadis yang sopan dan lemah lembut.

"Perwatakan dirinya yang santun apabila berbicara membuatkan saya tenang dan sentiasa mahu jadi sahabat kepadanya. Ditambah lagi, aura positif Ayana yang cukup menyerlah membuatkan sesiapa yang bersama dengannya ceria dan gembira," katanya.

Wany berkata, dia turut mendoakan semoga Ayana dilindungi dan terus dipelihara imannya oleh Allah SWT.

Kali pertama Wany bertemu Ayana ialah di KLCC, September lalu dan terbaru, mereka dipertemukan lagi dalam satu program MeleTop baru-baru ini sebagai hadiah kejutan buat Ayana.

Sementara itu, Ayana menerusi foto dimuat naik di Instagram menulis pertemuan dengan Wany dalam program hiburan itu adalah kenangan indah yang tidak akan dilupakan.

"Terima kasih idolaku, @wanyhasrita sebab datang," tulisnya.

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 12:55pm
d