rap

Makin ramai 'orang busuk'!

Oleh Sudirman Mohd Tahir

RITA Rudaini kesal apabila menjadi mangsa fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang mengatakan dirinya cemburu dan dengki dengan pelakon jelita Zahirah MacWilson.

Rita, 42, berkata, tidak ada sebab untuk dia bersikap begitu kerana dia tidak bermasalah langsung dengan Zahirah. Lagipun dia tidak mengenalinya secara dekat, berjumpa atau bekerjasama dengan Zahirah.

Menurut Rita, dia terkejut apabila isu itu ditanya kepadanya pada malam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) baru-baru ini dan temubual itu disiarkan dalam satu program pendek semalam.

"Orang yang suka buat fitnah dan reka cerita ini saya terfikir, adakah mereka boleh tidur lena? Tidakkah ada rasa bersalah mengada-adakan cerita? Macam mana boleh dapat idea untuk reka cerita? Adakah bahagia hidup dapat reka cerita dan berita palsu? Puas hati? Tenang?

"Kepada anda yang mereka cerita tidak masuk akal hingga memfitnah saya, satu saja saya nak beritahu iaitu saya tidak hidup dengan kontroversi. Mungkin bagi sesetengah artis perlukan perkara itu untuk menaikkan nama, tetapi bukan saya," katanya.

Rita berkata, dia tidak mahu isu yang sengaja dibangkitkan boleh menimbulkan salah faham pada pelakon itu yang tidak mengetahui cerita sebenar.

"Dari mula berlakon, niat saya hanya untuk cari rezeki kerana itu saja kebolehan dan bakat yang Allah beri kepada saya untuk diri sendiri, keluarga dan anak-anak.

"Untuk apa saya dengki dan cemburu dengan orang? Suatu ketika dulu saya pernah digelar 'Primadona Drama Melayu' dan sudah lalui zaman kegemilangan.

"Namun, ia tidak penting bagi saya. Apa yang lebih puas adalah dapat tunjukkan bakat dan wang untuk sara hidup dan keluarga. Jadi, kepada yang tabur fitnah, anda silap orang," katanya.

Menurut Rita, berada pada tahap sekarang bukan lagi waktu untuknya mengejar glamor.

"Tidak perlu risau dan takut, saya hanya manusia biasa yang ingin tumpang cari rezeki. Bukan nak lawan siapa lebih glamor, lawa dan hebat.

"Kalau yang mengikuti di Instagram dan pernah kenal saya selama ini, hidup saya biasa saja. Tidak ada yang seronok dan menarik pun. Duduk rumah masak, cuci najis kucing, cuci baju dan kasut bola, hantar anak sekolah dan buat kerja rumah seperti suri rumah lain.

"Pesan saya, tidak perlu gigih nak fitnah dan timbulkan kontroversi. Industri kita bukan saja tenat, tetapi makin ramai orang 'busuk'," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 2:48pm
d