rap

Kekasih sentiasa di sisi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi Maya Matahari yang kini dikenali sebagai Mya Ruslee mengakui kekasihnya banyak membantu melancarkan perjalanan dan aktiviti harian sepanjang pembabitan dalam program Gegar Vaganza 5 (GV 5).

Mya, 42, atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee berkata, kekasihnya yang juga jurulatih dalam bidang kecergasan itu akan memastikan dirinya tampil bertenaga setiap kali ingin membuat persembahan.

“Setiap minggu dia memang akan ikut sebab dia antara pasukan saya sepanjang GV5 ini. Memandangkan dia jurulatih kecergasan, jadi tugas lebih kepada menjaga stamina dan kesihatan saya.

“Dia akan memastikan saya sihat dan kuat dari segi moral sebelum naik ke pentas. Dalam pertandingan bukan perkara biasa jadi segalanya perlu diambil kira. Pendek kata, ia bukan sesuatu yang mudah. Orang tengok kita hanya menyanyi, sebaliknya proses panjang dilalui sebelum membuat persembahan.

“Dia juga pernah terbabit dalam pertandingan di gelanggang, jadi dia tahu kemampuan saya untuk pertandingan ini terutama macam mana nak fokus. Banyak saya belajar daripadanya selain mendapat sokongan moral yang berterusan,” katanya.

Namun begitu, Mya yang popular menerusi lagu Matahari terpaksa berehat seketika daripada melakukan senaman berat di gimnasium akibat masalah sakit belakang.

“Sakit ini sejak di bangku sekolah. Apabila banyak bersukan, sakit datang balik. Malah, ia bertambah sakit kalau pakai kasut tumit tinggi. Jadi, saya berehat dahulu dan hanya melakukan aktiviti senaman ringan. Mujur dia ada membantu mencari penyelesaian lain bagi memastikan saya fit setiap minggu.

“Saya pernah pergi berjumpa pakar tulang belakang. Ketika itu dia betulkan bahagian saraf yang berlaga. Namun, sakit sama masih ada. Kalau nak hilangkan, kena rajin buat rawatan.

“Kesan daripada sakit ini, saya tidak boleh duduk dan berdiri lama. Kalau duduk di kerusi yang empuk seperti sofa pun tidak boleh,” katanya.

Namun, Mya berkata, dia tetap akan meneruskan aktiviti senaman itu selepas berakhirnya GV5 nanti.

“Pakar menasihati supaya berhenti bersukan dahulu. Tetapi, saya jenis yang kena bersukan atau berlari. Jadi, saya nekad untuk buat juga. Mungkin buat aktiviti sukan ringan saja,” katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam pertandingan itu, Mya mengakui ia memberikan cabaran dan pengalaman baru setiap minggu.

Menurut Mya, tampil membuat persembahan biasa dan terbabit dalam pertandingan adalah dua perkara berbeza yang memerlukan semangat juang tinggi.

“Selama ini saya hanya menjayakan persembahan dan nyanyi lagu orang lain. Tetapi, dalam pertandingan ini semuanya diambil kira dan akan dikritik oleh juri profesional. Sedikit sebanyak ia memberikan tekanan untuk beri persembahan terbaik.

“Saya sahut cabaran ini kerana yakin boleh buat. Pada masa sama, saya ingin buktikan boleh menyanyikan semua genre lagu. Selama ini orang hanya tahu saya penyanyi, tetapi tidak melihat apa saya boleh buat,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 3:00pm
d