rap

'Rugilah Orang Itu tak ditayangkan'

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON Tony Eusoff mengakui berasa terkilan kerana filem lakonannya berjudul Orang Itu tidak ditayangkan kepada umum.

Filem arahan Low Ngai Yuen itu dihasilkan untuk mengumpul dana bagi tabung penyakit Hepatitis yang dianjurkan Persatuan Membasmikan Hepatitis (HFM) dan WOMEN: gIrls.

Menurut Tony atau nama sebenar, Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 41, pada mulanya, dia memang tidak diberitahu filem itu dihasilkan untuk tabung penyakit hepatitis.

“Ketika terbabit dengan penggambaran filem ini, tiga tahun lalu, penerbit tiada perancangan untuk menghasilkan filem ini untuk membantu pesakit hepatitis.

“Sebagai anak seni, kita berkarya untuk menghiburkan orang. Tanyalah semua pelakon terbabit pasti semua mahu filem ini ditayangkan di pawagam tempatan.

“Sayang dan rugilah jika filem lakonan kita tidak ditonton orang,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata Tony, dia hanya menyerahkan kepada penerbit filem Orang Itu untuk menyelesaikan isu terbabit.

“Saya akur dengan keputusan penerbit kerana sekurang-kurangnya ia ditayangkan pada malam gala sempena kempen Jade Ribbon di GSC Pavillion Kuala Lumpur pada 16 Oktober lalu.

“Sebagai pelakon, kami dibayar untuk merealisasikan filem ini dan bukan bidang kuasa saya untuk menentukan sama ada filem ini untuk tayangan umum atau kempen.

“Saya percaya mungkin penerbit ada perancangan tertentu untuk memasarkan filem ini termasuk ke festival di luar negara selepas ini,” katanya.

Mengulas wataknya dalam filem Orang Itu, kata Tony, walaupun kecil, ia tetap memberi impak pada penonton.

“Saya melakonkan watak lelaki bisu dan belum pernah dilakonkan sebelum ini.

“Saya terima tawaran berlakon cerita ini pun kerana tertarik dengan watak ditawarkan,” katanya.

Filem Orang Itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datin Sofia Jane, Carmen Soo, KK Wong, Sawyer Leong, Nam Ron, Redza Minhat dan ramai lagi.

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 9:46pm
d