rap

Syinta Gila trending di iTunes, Youtube

Oleh Sudirman Mohd Tahir

AHLI perniagaan Safiey Ilias yang kini muncul dengan single Syinta Gila, bangga apabila lagu itu berjaya menduduki tangga teratas di carta iTunes Malaysia dan trending di aplikasi muzik itu sejak dilancarkan pada Isnin.

Lagu ciptaan Ressa Herlambang itu juga berada di kedudukan Top 5 carta trending di saluran YouTube.

Safiey, 24, atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias ketika dihubungi berkata, lagu itu diciptakan khas untuknya berdasarkan personaliti dan perjalanan hidup dilalui.

"Sebelum memutuskan untuk menghasilkan lagu ini, Ressa terlebih dahulu ingin berjumpa saya selama lima jam. Dia mahu mendengar cerita saya dan melihat sendiri personaliti bagi disesuaikan dengan lagu.

"Alasan utamanya, dia mahu lagu ini nampak profesional, ada kelas dan mesej yang ingin disampaikan selain memberi inspirasi kepada wanita," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Safiey tidak mahu masyarakat salah sangka dengan penggunaan lirik 'Aku Wanita' dalam lagu itu kerana ia bukan mewakili dirinya sebaliknya untuk wanita sebenar.

"Saya hanya menyanyikan lagu ini. Lirik lagu ini tidak ada kaitan dengan saya pun, tetapi ia dihasilkan untuk dijadikan sumber inspirasi kepada wanita.

"Bagi mereka yang ada masalah kurang keyakinan diri, boleh dengar lagu ini. Alhamdulillah, mesej saya nak sampaikan, berjaya diterima. Terima kasih kepada semua yang memberikan maklum balas positif untuk lagu ini," katanya.

Safiey juga berkongsi, dia mengadakan pertandingan mencipta tarian bagi lagu itu dan menawarkan hadiah berupa wang tunai RM1,000.

"Menerusi pertandingan ini saya menetapkan syarat tidak boleh ada unsur lucah dalam tarian. Saya tidak mahu ia beri kesan buruk kepada kanak-kanak, budak sekolah dan masyarakat keseluruhannya.

"Sebanyak 1600 penyertaan diterima dan pemenang sudah diumumkan iaitu pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Muzik video lagu ini juga sudah disiapkan dan akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 11:53am
d