rap

Satu episod Melodi sahaja...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENGACARA popular Awal Ashaari tidak menjangka kemunculannya sebagai hos gantian pada program Melodi semalam mendapat maklum balas positif penonton dan pengguna laman sosial.

Awal, 37, atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, selepas 10 bulan meninggalkan program itu, dia dipanggil semula bagi menggantikan ketiadaan pengacara program itu, Janna Nick dan Ajak.

“Penerbit menghubungi saya dan tawarkan untuk jadi hos gantian kerana difahamkan Janna dan Ajak ada urusan kerja dan hal peribadi.

“Kebetulan jadual kerja lapang, saya okey saja. Lagi pula, saya pernah megacarakan program ini selama enam tahun. Jadi, tidak ada masalah pun.

“Apa dipersembahkan sama saja seperti sebelum ini. Cuma, mungkin penonton sudah lama tidak menyaksikan saya dalam program ini, jadi mereka teruja. Apa pun, saya nak berterima kasih kepada penonton dan pengguna laman sosial atas sokongan dan maklum balas diberikan,” katanya kepada Harian Metro.

Kemunculan Awal pada program Melodi yang bersiaran dari jam 12 hingga 1.30 petang di TV3 itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat sama ada suami kepada pelakon Scha Alyahya itu bakal kembali ke program hiburan popular itu.

Kebanyakan komen yang diberikan di laman Instagram program itu, Awal dan medium laman sosial lain memuji kredibiliti Awal sebagai pengacara.

Malah, rata-rata ingin Awal kembali mengacarakan Melodi kerana berasakan program itu sedikit hambar selepas ketiadaanya di posisi itu.

Awal menjelaskan kemunculannya itu bukan memberi bayangan dia bakal kembali sebagai hos utama Melodi seperti diperkatakan banyak pihak.

“Ketika mengambil keputusan meninggal program ini, saya pernah cakap sudah sampai waktu memberi fokus kepada perkara lain. Malah, saya juga ingin muncul dalam program sendiri.

“Namun, mungkin belum ada rezeki lagi. Dalam masa sama, saya juga ada perancangan lain dalam bidang ini. Tetapi, ia tidak bermakna saya akan kembali menjadi hos Melodi. Kalau setakat nak gantikan pengacara untuk satu episod, saya tidak ada masalah.

“Saya menganggap pemilihan saya adalah kepercayaan daripada pihak penerbitan. Cuma buat masa sekarang, saya masih mencari program yang sesuai dengan pengalaman dan karakter saya. Melodi itu cukup sinonim dengan jiwa saya dan agak sukar untuk mencari program yang serasi begitu,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 7:10pm
d