rap

Terkejut dengar gosip

Oleh Michelle Gun

Khabar angin kononnya pelakon Rita Rudaini enggan kerjasama dan mencemburui Zahirah Macwilson menjadi bualan hangat netizen.

Ketika ditemui baru- baru ini, Zahirah, 23, mengakui terkejut mendengar dakwaan itu kerana belum pernah bertemu Rita.

“Saya memang terkejut mendengar gosip ini kerana tidak pernah jumpa mahupun bekerjasama dengan Rita sepanjang tiga tahun menceburi bidang lakonan.

“Malah, kami juga tidak berjumpa ketika menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini,” katanya.

Pelakon Jangan Benci Cintaku itu turut tertanya-tanya bagaimana berita palsu itu boleh timbul.

“Saya tidak tahu nak buat macam mana kerana baru dimaklumkan mengenainya. Mungkin Rita boleh memberitahu saya masalah sebenar,” katanya.

Sekiranya isu hampir sama membabitkan artis senior timbul pada masa depan, Zahirah berkata, dia tidak akan rasa kecil hati.

“Tak apa kalau ada artis tidak menyukai saya. Mungkin ada sesuatu pada diri saya yang membuatkan mereka rasa kurang senang,” katanya.

Sebelum ini, Rita mengakui terkilan dengan fitnah kononnya dia cemburu dengan Zahirah.

Pelakon itu turut dikatakan enggan bekerjasama dengan Zahiran untuk mengendalikan sebuah acara anugerah.

Rita turut menjelaskan tidak mengenali Zahirah secara dekat mahupun pernah bekerjasama dengannya.

Dalam perkembangan lain, Zahirah akan memulakan penggambaran filem aksi arahan Ghaz Abu Bakar dalam masa terdekat.

Dia juga akan kembali ke televisyen menerusi dua drama bersiri yang dibintanginya tahun depan.

Awal bulan ini, Zahirah dibawa syarikat penerbangan Air Asia X untuk melawat lokasi menarik di Tokyo, Jepun.

Kali pertama menjejak kaki ke Jepun, antara lokasi kunjungannya adalah Shibuya, Shinjuku dan Odaiba.

Selain menikmati keindahan Jepun, Zahirah berpeluang melihat sisi futuristik negara itu serta memakai kostum Harajuku.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 2:00pm
d