rap

Sakit pun kena kerja

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI dan pelakon, Zarul Husin tetap meneruskan penggambaran dan juga memenuhi undangan menyanyi, walaupun dia dinasihatkan berehat oleh doktor, bagi membolehkan tulang jari kelingking yang retak, pulih dengan cepat.

Selasa minggu lalu, bekas penyanyi utama kumpulan Umbrella itu cedera apabila cuba mengelak dari kemalangan sewaktu menjalani penggambaran drama terbaru lakonannya Cokelat, Honey & Red Velvet.

Kakinya kemudiannya membengkak sehingga menyebabkan dia terpaksa ke hospital. Selepas menjalani x-ray, doktor mendapati tulang jari kelingkingnya retak dan harus menggunakan pendakap kaki.

Ramai peminat dan penonton program Gegar Vaganza musim terbaru terkejut melihat kemunculan Zarul dengan kakinya berbalut dan terpaksa bertongkat naik pentas sewaktu berduet bersama Hetty Sarlene, Ahad lalu.

Katanya sewaktu dihubungi, hari ini, sebenarnya doktor menasihatinya untuk berehat dalam beberapa hari bagi membolehkan kakinya sembuh dengan cepat.

“Bagaimanapun saya tidak boleh berbuat begitu kerana kerja menunggu. Selepas bertemu doktor keesokan harinya, saya tetap meneruskan penggambaran. Ini kerana dalam Cokelat, Honey & Red Velvet saya antara pelakon utama.

“Kalau saya ambil cuti nanti kesannya akan mengganggu perjalanan jadual pelakon dan produksi. Saya tidak mahu disebabkan saya semua pihak berdepan masalah,” katanya.

Begitupun kata Zarul, dia berterima kasih dengan pihak produksi yang memahami situasi dirinya dengan cuba mengubah beberapa babak agar memudahkan dia untuk meneruskan penggambaran.

“Mengambil contoh, andai dalam skrip kata saya perlu berjalan sambil bercakap, pengarah akan tukar babak itu dibuat secara duduk. Lagipun pendakap kaki itu boleh dibuka dan dipasang kembali.

“Memang perkara ini akan memberi kesan kepada saya. Proses untuk pulih akan memakan masa. Tapi saya tidak ada pilihan. Saya sanggup ambil risiko. Apa yang penting kerja jalan dulu,” katanya.

Berita berkaitan

Zarul retak tulang kaki

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 2:50pm
d