rap

Artis baru 'vs' artis lama

Oleh Najiy Jefri

PENCALONAN Akhir Muzik Muzik 33 (MM33) berbeza berbanding sebelum ini apabila kali ini turut menyaksikan kehadiran semula penyanyi berpengalaman untuk beradu suara dengan penyanyi baru.

Penerbit Eksekutif MM33, Nurhul Huda Khalid berkata, ramai artis yang membuat kemunculan semula, menyerlah tahun ini apabila lagu mereka meraih carta teratas MM33 hingga membolosi peringkat Separuh Akhir.

“Tahun ini Separuh Akhir MM33 memperlihatkan ramai wajah-wajah artis berpengalaman beradu suara dengan penyanyi baru.

“Kami lihat artis yang membuat kemunculan semula ini berjaya menduduki carta teratas MM33 tahun ini apabila lagu mereka menjadi hit dan diminati.

“Sudah lama Muzik Muzik tidak melihat persembahan penyanyi berbakat besar seperti Siti Sarah dan Liza Hazim membuat kemunculan di Muzik Muzik. Kali terakhir mereka membuat persembahan pun sedekad lalu,” katanya.

Menurut Nurhul, pihak produksi mengaku teruja apabila penyanyi lama dan baru dipertemukan kembali bagi merebut 12 kerusi ke Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33).

“Tak sabar nak lihat kehebatan artis lama dan baru berkongsi pentas dalam acara yang dinanti-nantikan semua orang.

“Kami mengharapkan ada magis yang bakal dilakar setiap artis yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir ini.

“Pihak kami juga berharap setiap penyanyi yang mengambil bahagian dapat memberikan persembahan terbaik kerana kesemua 30 lagu yang terpilih mempunyai kekuatan lagu tersendiri,” katanya.

Separuh akhir MM33 kali ini mempertaruhkan 30 lagu yang dipilih hasil undian peminat di carta MM33 dan bakal bersaing merebut 12 tempat untuk ke Anugerah Juara Lagu yang dijangka berlangsung tahun depan.

Antara artis yang bakal berentap ialah Liza Hazim (Mimpi), Dayang Nurfaizah (Dia), Siti Sarah (Semakin), Amylea x Kaer (Tak Pernah Hilang), Altimet (Bunga), Khai Bahar (Luluh) , Ara Johari (Bunga).

Selain itu, Separuh Akhir MM33 turut menyaksikan persembahan Ismail Izzani (Demi Kita), Stacy (Cakap Ke Tangan) Syamel (Kau Pun Sama), Haqiem Rusli (Selamat Tinggal Sayang) , Siti Nordiana & Jaclyn Victor (Nisan Cinta) dan Misha Omar (Sampai Bila).

Separuh akhir MM33 akan berlangsung selama tiga minggu bermula 9 November hingga 20 November dan diacarakan Sherry Alhadad dan Haziq Hot FM.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 4:24pm
d