rap

ASK2018 perkenal Drama Rantaian Terbaik

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ANUGERAH Skrin 2018 (ASK2018) memperkenalkan kategori baru di bawah kategori drama iaitu Drama Rantaian Terbaik (Kategori Bahasa Cina).

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, pembaharuan itu adalah sebagai strategi untuk meluaskan lagi rangkaian industri drama tempatan.

“Selain penonton Melayu, penonton Cina turut menyumbang kepada jumlah tontonan TV di Malaysia.

“Kerana itu, kami mengambil inisiatif untuk membuka ruang kepada pengkarya dan drama berbahasa Cina,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya lagi, langkah itu sudah dimulakan sejak penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) baru-baru.

“Di acara DFKL, kami sudah mulakan langkah ini dengan memasukkan penyertaan drama berbahasa Cina dan peserta bukan Melayu.

“Dari situ, kami dapat lihat sambutan yang positif dan dikembangkan dalam ASK2018,” katanya.

Dua lagi kategori baru yang diperkenalkan adalah Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian.

Secara keseluruhan, ASK2018 yang sudah masuk edisi ke-22 mempertaruhkan 30 kategori merangkumi 14 kategori drama, tujuh kategori filem, sembilan kategori bukan drama dan teknikal.

Enam daripada sembilan kategori bukan drama akan diraikan di satu slot istimewa menerusi siaran langsung Melodi ASK2018 pada 28 Oktober manakala 24 anugerah kategori lain akan disampaikan pada Malam Anugerah ASK2018 yang akan berlangsung pada 2 November ini.

ASK2018 disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Edisi kali ini menampilkan kelainan tanpa kehadiran hos utama, sebaliknya dikendalikan oleh 12 penyampai anugerah antaranya Ayda Jebat, Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Awal Ashaari dan ramai lagi.

Malam penuh gilang gemilang itu akan turut dimeriahkan dengan persembahan gabungan oleh Wany Hasrita, Ernie Zakri dan Shiha untuk segmen 'tribute' kepada Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain, Jaclyn Victor, Elvira, Altimet dan ramai lagi.

Selain Rangkaian Televisyen Media Prima iaitu TV3, ntv7, TV9 dan 8TV, ASK2018 turut disertai oleh rakan penyiar lain seperti Astro AEC, Bernama, RTM dan TV Al-Hijrah.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 11:08pm
d