rap

Pengisian lebih matang

Oleh Ardini Sophia Sina

MENYAMPAIKAN jenaka secara bersahaja, boleh dikatakan Bocey adalah antara kumpulan pelawak yang berjaya meraih populariti serta cukup berpengaruh.

Lebih lima tahun dalam industri seni tanah air, Bocey yang dianggotai oleh Fad, Abam dan Achey berasakan sudah tiba masanya mereka mengelak daripada menggunakan fizikal sebagai bahan lawak.

Kata Fad, perubahan yang mereka ingin bawakan itu bukan kerana ada antara mereka yang terasa hati apabila kekurangan fizikal mereka dijadikan jenaka. Ini kerana mereka sedar penonton mulai bosan apabila sering disajikan dengan lawak serupa.

“Rasanya cukup setakat itu jenaka kami yang kadangkala menggunakan fizikal sebagai bahan lawak. Kami akan berusaha menampilkan pengisian lebih matang.

“Selepas ini, kami akan selitkan mesej positif dalam setiap penyampaian. Dalam berhibur, adalah lebih baik andai kita juga mendapat pengajaran daripada sketsa yang disampaikan,” kata Fad.

Sekali lagi menyertai pertandingan sebuah program lawak, peminat seolah-olah sudah menjangkakan Bocey akan mengulangi kejayaan mereka meraih tempat pertama.

Dua kali memenangi pertandingan berkenaan pada 2016 dan 2017, kata Abam, penyertaan mereka kali ini bukan bertujuan mengejar gelaran juara tetap langkah agar Bocey terus diingati.

“Tidak banyak ruang untuk pelawak seperti kami untuk menonjolkan bakat. Oleh itu, kami bersetuju masuk bertanding dengan harapan dapat mengekalkan momentum Bocey dalam industri.

“Kami tidak mengejar gelaran juara. Hal yang kami utamakan adalah kekal relevan dan peminat tidak lupa kehadiran Bocey sebagai pelawak,” katanya.

Menangkis dakwaan umum kononnya mempunyai laluan mudah menewaskan peserta lain, kata Fad, kemenangan itu sukar dijangka apatah lagi dengan kehadiran peserta baharu.

Mereka sedikit tertekan kerana perlu bekerja keras mencari idea baharu. Tambahan pula, Bocey berhadapan saat sukar untuk membuat penonton ketawa kerana umum sudah terbiasa melihat lawak mereka.

“Tidak mudah menjadi pemenang kerana orang sudah terbiasa melihat . Sudah biasa dengar bahan lawak dan cara kami sampaikan. Oleh itu, tidak mudah buat penonton ketawa.

“Kami tidak tahu ‘senjata’ peserta baharu. Mereka ada kelebihan kerana penonton akan tertarik dengan teknik lawak baharu. Sesiapa saja akan bosan kalau disajikan benda sama. Itu yang membuatkan kami perlu kerja keras,” kata Fad.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 7:01am
d