rap

Enggan teruskan ketegangan

Oleh Georgie Joseph

Sejak bergerak solo dan keluar daripada kumpulan Fifth Harmony tidak lama dulu, kerjaya penyanyi Camila Cabello terus mekar.

Camila, 21, nyata tidak hiraukan hal lain dan mara sehingga seantero dunia mengaguminya. Sehinggakan, ramai terlupa dia sebelum ini bermula sebagai anggota kumpulan terbabit.

Bagaimanapun, terbaru penyanyi Havana ini menyatakan hajatnya untuk bergabung semula dengan Fifth Harmony. Bukan sebagai kumpulan sebaliknya untuk berkongsi pentas yang sama.

Menurut sumber, Camila tidak mahu teruskan ketegangan yang berlaku di antaranya dengan anggota Fifth Harmony lain.

Mana tidaknya, sewaktu dia memutuskan untuk keluar daripada kumpulan itu kesudahannya tidak berakhir dengan baik. Namun, anggota lain tetap merestui keputusannya.

Disebabkan ketegangan antara mereka, Camila mahu menjernihkan semula keadaan itu. Hakikatnya, mereka tidak pernah membenci sesama sendiri.

Menurut sumber, dia kini teruja jika berpeluang untuk bersatu semula dengan anggota lain itu dalam persembahan besar.

“Camila teringin bergabung semula dengan mereka untuk persembahan istimewa seperti penampilan pada acara Super Bowl,” kata sumber berkenaan.

Semestinya perkhabaran terbaru itu membuatkan peminat Fifth Harmony gembira.

Hal itu jugalah yang menguatkan lagi keinginan penyanyi berkenaan untuk merealisasikan hajat itu. Jelas, dia sendiri merindui saat gembira dengan rakannya.

Sementara itu, anggota Fifth Harmony iaitu Normani mendakwa tiada isu antara mereka dengan penyanyi terbabit. Bahkan dia memuji kehebatan Camila sebagai penyanyi solo.

“Dia benar-benar bersinar. Memang apa yang dia lakukan luar biasa. Saya sangat bangga dengannya,” katanya.

Buat masa sekarang, kumpulan itu berehat seketika untuk memberi laluan kepada karier solo masing-masing.

Terdahulu, kumpulan berkenaan pernah memberi bayangan mereka akan berpecah. Pada masa sama, mereka juga menyatakan kemungkinan akan kembali bergabung.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 12:59pm
d