rap

Tidak ada tapi-tapi...

Oleh Ardini Sophia Sina

MULA menceburi bidang seni suara awal 80-an, sehingga kini nama Man Bai tetap terpahat di hati peminat muzik tanah air. Malahan, lagu Kau Ilhamku masih menjadi siulan ramai orang.

Walaupun jarang muncul di kaca televisyen, Man Bai masih aktif menyanyi. Pun begitu, dia tidak punya sebarang perancangan untuk menyertai mana-mana pertandingan program realiti.

Pernah ditawarkan menjadi salah seorang peserta siri realiti, Man Bai menolak kerana berasakan dirinya tidak layak bersaing dengan penyanyi senior lain.

“Memang penaja itu menawarkan saya untuk menyertai program realiti itu, tetapi saya tolak. Saya berasa tidak layak masuk bertanding apatah lagi semua peserta yang terpilih hebat-hebat belaka.

“Melihat pada barisan juri pun buat saya malu kerana kehebatan mereka dalam bidang muzik sangat dahsyat. Oleh itu, adalah lebih baik kalau saya tidak sertai pertandingan berkenaan,” katanya.

Pernah menjulang trofi Penyanyi Lelaki Solo Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996, kredibiliti Man Bai sebagai penghibur tidak perlu dipertikaikan lagi.

Dilantik sebagai juri program pencarian bakat baharu, When Music Speaks anjuran Our Records, kata Man Bai ia bukan perkara mudah apatah lagi mereka mencari penyanyi bukan hanya untuk pasaran Malaysia, tetapi juga di negara Asia.

Mengakui seorang yang tegas, Man Bai ingin mencari penghibur yang namanya boleh bersinar terang dan bukan hanya sekadar suam-suam kuku. Walaupun pertama kali menjadi juri, katanya, tidak ada ruang untuk berlembut dalam misi ini.

“Saya memang tegas. Kalau tidak bagus, saya akan cakap begitu, tidak ada tapi-tapi. Saya yakin, proses mencari bakat baharu ini akan ambil masa yang panjang.

“Mencari permata sehingga ke peringkat Asia Tenggara bukan kerja mudah. Banyak yang perlu dititikberatkan. Kita mahu cari seorang penghibur dan bukannya daripada program nyanyian kemudian melakar kejayaan di cabang seni lain,” katanya.

Katanya lagi, tugas juri tidak hanya sekadar memilih individu yang berbakat, tetapi juga membentuk keperibadian serta berketrampilan sesuai dengan imej sebagai penyanyi.

Man Bai turut menyelar sikap beberapa penyanyi baru yang seolah-olah semakin hilang nilai seniman dalam diri mereka. Apa yang dikejar hanyalah populariti serta wang ringgit.

“Tidak salah jadikan nyanyian sebagai bisnes, tetapi kena ingat, karya harus dijaga. Janganlah hanya mengejar populariti dan pendapatan semata-mata. Dalam setiap penghasilan lagu, harus fikir adakah naskhah itu masih diingati 10 atau 15 tahun akan datang.

“Ramai penyanyi baru sekarang gagal menghayati maksud sebenar seniman. Ada antara mereka yang hanya ingin menjadi insan terkenal sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 8:00am
d