rap

'Karyawan prihatin penderitaan artis'

Oleh Ridzuan Abul Rahman

PRESIDEN Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mengakui prihatin dengan penderitaan yang dilalui oleh segelintir penggiat seni tanahair dan berjanji akan membantu meringankan beban mereka.

Terbaru, Karyawan akan membantu membiayai kos perubatan Pian Cecupak yang sebelum ini dirawat di Wad Pemulihan Jantung (CRW) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami serangan jantung.

“Karyawan ada peruntukan dari Tabung Kebajikan Penggiat Seni yang diwujudkan oleh kerajaan. Pian atau keluarganya perlu mengisi borang yang disediakan.

“Apabila semuanya sudah lengkap kami akan menghantarkannya kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan selepas itu barulah pembayaran dapat dibuat.

“Kementerian ada dana yang diwujudkan sejak 2009 tapi ketika itu tak dimaklumkan kepada Karyawan. Apabila diberi kebenaran, Karyawan dapat memanfaatkan dana itu bagi membantu penggiat seni yang berdepan masalah seperti sakit yang serius,” katanya yang dihubungi oleh Harian Metro.

Pian atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Rahman, 48, juga memerlukan kos sekitar RM30,000 sehingga RM35,000 untuk rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) kerana kemampuannya untuk bernafas secara semulajadi hanya sekitar 20 peratus.

Freddie berkata, Karyawan perlu melihat kemampuan dana untuk menyalurkan sumbangan yang berjumlah besar sebegini.

“Ia terpulang kepada kementerian kerana kewangan dana sudah berkurangan. Kami berharap kerajaan dapat menambah lagi jumlahnya kerana mereka memperuntukkan sebanyak RM3 juta pada 2009.

“Ia sudah disalurkan kepada ramai penggiat seni meliputi penggiat teater, penyanyi dan pelakon serta banyak lagi.

“Jika ada penambahan, mungkin kami dapat membantu kes-kes besar seperti yang berlaku terhadap Pian,” katanya.

Freddie memberitahu, bukan sahaja Pian, bahkan pihaknya juga berhasrat membantu ramai penggiat seni yang berdepan masalah kesihatan seperti Yazit Ahmad (Search) dan Elyana.

“Semua kes ini boleh dikendalikan dibawah Tabung Kebajikan Penggiat Seni yang diwujudkan. Tidak perlulah kita cari dana lagi kerana kerajaan sudah sediakan.

“Apa salahnya jika diuruskan dengan baik dan disalurkan kepada mereka yang sepatutnya dapat.

“Tidak kira samada jurusolek artis dan kru produksi, jika sakit mereka boleh menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan. Jika layak Karyawan pasti dapat bantu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk Irwan Shah atau DJ Dave, ketika dihubungi berkata, mereka juga sedang menimbangkan untuk membantu Pian.

“Saya baru balik dari bercuti dan sedang meneliti kes ini. Untuk membantu dalam jumlah yang besar agak sukar juga kerana kami kekurangan dana.

“Apapun YKAT akan melihat kes ini secara mendalam dan akan buat yang terbaik untuk membantu,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 7:12pm
d