rap

Lega dapat balik akaun

Oleh Georgie Joseph

PELAKON dan penyanyi Aliff Aziz bersyukur berjaya mendapatkan semula akaun Instagramnya atas bantuan kenalannya selepas akaun itu digodam selama lebih dua bulan lalu.

Aliff, 27, berkata dia awalnya hampir reda tidak mendapat semula akaunnya itu dan kini lebih berhati-hati demi mengelakkan kejadian terbabit berulang.

“Alhamdulillah dengan bantuan pakar yang diperkenalkan rakan artis iaitu Aprena, mereka berjaya mendapatkan semula akaun itu. Itupun mengambil proses yang agak lama juga sejak Instagram saya mula digodam.

“Syukur tiada apa-apa benda tidak diingini berlaku yang boleh membawa kesan negatif. Tahu sajalah kan pengodam boleh melakukan pelbagai perkara buruk jika sudah mengambil alih akaun kita.

“Penggodam itu hanya sempat memadam berpuluh foto saya dalam akaun itu. Bagaimanapun, foto itu saya tidak kisah sangat, yang penting cuma akaun berkenaan,” katanya.

Menurut Aliff, dia kini gandakan keselamatan untuk akaun media sosialnya selepas mendapat beberapa tip daripada pakar yang membantunya itu.

“Ini pertama kali Instagram saya digodam namun sudah cukup memberi pengajaran besar. Mujur pakar yang membantu saya itu turut memberikan tip untuk lebih berhati-hati selepas ini.

“Antaranya, saya kena tukar katalaluan selang satu hingga tiga bulan. Selain itu, emel yang digunakan untuk akaun itu harus berbeza dengan emel digunakan bagi tujuan kerja ataupun pembelian dalam talian,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 5:37pm
d