rap

Pengikut 'psiko' buat Tash meremang

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Tash Yong, 28, akui dibelenggu kebimbangan kerana diganggu pengikut misteri ‘psiko’ di laman sosialnya.

Tash berkata dia mula sedar apabila setiap foto dimuat naik di Instagram (IG) sering mendapat komen pengguna akaun, @zuwairi7.

“Apa membuatkan saya berasa terganggu apabila @zuwairi7 sering menulis komen sama untuk foto dimuat naik.

“Komen ditulisnya, saya patut kena culik, ikat tangan dan mulut dalam setiap babak dilakonkan sama ada untuk drama atau filem.

“Terus-terang, komen ditulis itu sangat membuat saya terganggu kerana begitu memikirkan keselamatan diri,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli ini memberitahu komen itu bukan ditulis untuk satu fotonya tetapi berkait dengan foto yang lain.

Menurut Tash, dia mula kenal pasti kewujudan pengikut akuan @zuwairi7 itu ketika mula terbabit penggambaran filem Hero lakonannya.

“Saya seorang yang suka berkongsi foto ketika terbabit dalam penggambaran dijayakan.

“Selepas dimuat naik, pasti @zuwairi7 menjadi salah seorang pengikut yang meninggalkan komennya.

“Jadi, apabila komen yang sama sering ditulis saya berasakan ada perkara tak kena dengan pemilik akaun terbabit.

“Malah, apabila diselidik mendapati ia akaun palsu. Lagilah, saya risau dan takut dibuatkannya,” ujar Tash.

Anak sulung komposer Rosli Selasih ini berkata, individu yang ‘psiko’ pada pemikirannya sanggup buat apa saja.

“Tindakan individu ‘psiko’ sukar dijangka, apatah lagi saya seorang wanita dan tidak boleh ambil ringan perkara ini.

“Saya harap gangguan dilakukan itu berakhir dan berilah sokongan pada karier seni saya dengan ikhlas,” katanya.

Menurut Tash, pada mulanya dia ada juga membalas komen itu dengan jawapan beradab tetapi lama-kelamaan jadi takut pula dibuatnya.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 6:22pm
d