rap

'Dulu murung sekarang ceria'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Amir Jahari, 26, menganggap dugaan yang berlaku dalam kehidupannya sepanjang lima tahun terakhir ini ada hikmah tersendiri.

Mengakui pernah hilang kewarasan akibat kemurungan, Amir menterjemahkan semua perasaan dan pengalamannya dalam mencari diri sendiri ke dalam album terbaru, Siang dan Malam.

"Album ini adalah berdasarkan pengalaman hidup saya sepanjang lima tahun terakhir ini.

"Akibat tertekan kerana lagu saya kurang mendapat sambutan di samping beberapa masalah lain, saya pernah hilang pedoman dan seperti orang gila," katanya kepada Harian Metro.

Amir mengakui sangat terhutang budi dengan rakannya yang juga anggota kumpulan Hujan, AG Coco.

"Di kala saya kemurungan dan pernah mengambil keputusan untuk pulang ke kampung kerana terlalu kecewa dengan industri, AG datang dan beri semangat baru kepada saya.

"Dia dan seorang lagi rakan, Pacai ada dengan saya sepanjang perjalanan saya menghasilkan album kedua ini.

"Walaupun saya tak ada duit kerana mengalami masalah kewangan, dia tetap teruskan juga untuk bantu saya keluarkan album ini," katanya.

Album Siang dan Malam menampilkan tujuh lagu dan dijual dalam bentuk album fizikal di Instagramnya.

Terbaru, Amir sedang membuat persediaan untuk showcase sulungnya pada 10 November ini di Live Fact.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 6:42pm
d