rap

'Tarik diri jika suara tak keluar'

Oleh Ramlah Zainal

“KALAU saya berada di tempat Zamani, saya akan menarik diri lebih awal dari pertandingan itu.

“Sebagai penyanyi, saya tidak mahu mengecewakan penonton terutama peminat apabila suara tidak keluar bila membuat persembahan di pentas,” kata Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 59, ketika mengulas mengenai insiden menimpa Zamani di pentas Gegar Vaganza,musim kelima minggu lalu.

Menurut penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu, dia juga menasihatkan bekas vokalis Slam itu mendapatkan rawatan dengan segera untuk memulihkan masalah kehilangan suara yang dihadapinya itu.

“Antara rawatan disarankan doktor adalah menggunakan ubat tertentu bagi mengurangkan bengkak di bahagian tekaknya itu.

“Selain itu, Zamani perlu banyak berehat dan minum air kosong serta kurang bercakap untuk segera pulih dari bengkak itu.

“Namun, dari sisi lain, kita dapat melihat ramai peminat yang menyayangi Zamani dan terus memberi sokongan padanya ketika berdepan insiden terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada insiden menimpa Zamani mungkin ada kaitan dengan penyakit misteri, Jamal menafikannya.

“Sebagai penghibur, saya sendiri pernah mengalami masalah hilang suara seperti Zamani.

“Insiden itu berlaku ketika saya mengadakan persembahan tanpa henti di konsert skala besar, dua tahun lalu.

“Pada malam terakhir konsert itu, suara saya tidak keluar dan doktor memberitahu tekak saya bengkak dan terkoyak,”katanya.

Justeru, kata Jamal, dia juga berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dengan segera sebelum persembahan pada konsert terbabit.

“Doktor juga memberi suntikan dan suara kembali pulih.

“Saya juga bersyukur kerana dapat kembali meneruskan persembahan seperti dijadualkan ketika itu,”katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 3:20pm
d