rap

Tampil ikhlas demi kebaikan - Khai

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BIARPUN kerap muncul dalam acara keagamaan, penyanyi, Khai Bahar tidak mahu dilabel penyanyi lagu-lagu keagamaan semata-mata.

Menurutnya, kehadirannya ke acara-acara seumpama itu adalah atas rasa ikhlas hatinya sendiri.

"Saya muncul di acara keagamaan kerana ikhlas hati sendiri. Sebagai penyanyi, saya ada cara saya sendiri membantu dan mengajak orang ramai supaya hadir ke acara sebegini," katanya kepada Harian Metro.

Khai, 24, ditemui pada Forum Bicara yang berlangsung di Kapar, Klang, berkata, dia juga sama seperti manusia lain yang ingin terus belajar dan memperbaiki diri.

"Bila artis kerap muncul di acara keagamaan, akan ada tanggapan masyarakat bahawa artis itu sudah berubah ke arah lebih Islamik dan sebagainya.

"Bagi saya, tanggapan sebegitu sebenarnya seperti tanggungjawab dan saya sendiri pun, bukanlah menyertai acara sebegini kerana ingin tampil lebih Islamik, sebaliknya, melakukan sesuatu yang menjurus ke arah kebaikan," katanya.

Di acara forum agama itu, Khai membuat persembahan diiringi Kid yang juga gitaris band legenda, Search.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 3:58pm
d