rap

Diana kesal mentaliti 'muat turun haram'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON Datin Diana Danielle, 27, melalui laman sosial Twitternya meluahkan rasa kesal dengan budaya segelintir generasi muda yang secara terbuka bertanya mengenai cara memuat turun filem secara haram.

"Senang sangat budak-budak sekarang. Segala jerih payah, tangisan dan tenaga kami korbankan, mereka boleh tanya bagaimana nak tengok filem tempatan secara haram.

"Tapi apabila orang tiru 'assignment' (tugasan) kau sikit dah meroyan tujuh keturunan," tulis beliau.

Beliau mahu mereka faham apabila menonton filem secara haram, mereka dikira menganiayai semua pihak yang terbabit dalam pembikinan sesebuah filem.

Tanpa berselindung beliau menyifatkan tindakan mereka itu sebagai menzalimi serta merompak rezeki yang sepatutnya diberikan kepada kepada anak-anak seni.

"Selalu 'complain' kan, kenapa industri filem negara tidak maju dan membosankan? Ya lah, pergi sokong laman sesawang muat turun haram, pasti lagi terkubur industri seni.

"Lagi kecil lah bajet untuk buat filem sebab tidak pulang modal, ini mentaliti yang sudah lama dipupuk ya!" luahnya lagi.

Pun begitu, Diana menyifatkan tindakan mereka ini adalah pilihan sendiri dan tiada paksaan cuma jika mahu menonton sesebuah filem, tontonlah di saluran betul dan jangan jadi perompak.

Luahan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 ini adalah susulan ada segelintir remaja tanpa segan silu bertanya secara terbuka di laman sosial mengenai cara untuk memuat turun secara haram filem terbaru lakonannya Gol & Gincu Vol 2 yang mula ditayangkan sejak minggu lalu.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 10:16pm
d