rap

Giliran XPDC Kita Peng Yu

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Nama Setor Gombak di Jalan Gombak, Kuala Lumpur semakin dikenali dalam kalangan kumpulan rock tanah air sebagai lokasi yang sesuai untuk mengadakan persembahan berskala sederhana.

Selepas OAG dan Flopp Poppy beraksi di situ, malam ini giliran kumpulan heavy metal terkenal XPDC Kita Peng Yu yang dianggotai Mael (penyanyi), Zuar (bass), Amy (dram) dan Jeff (gitar) pula akan menghiburkan peminat mereka menerusi siri konsert muzik Rona Bunyi anjuran TFM dan Kelipan Store.

Persembahan dinamakan XPDC Solo akan berlangsung lebih dua jam bermula pada 9.30 malam hingga 11.30 malam.

Zuar berkata, mereka sudah beraksi di pelbagai lokasi di seluruh negara dan berkongsi pentas dengan banyak kumpulan dan artis yang lain dan kini masanya untuk tampil secara solo.

“Kali ini XPDC ingin bermain di pentas sendiri secara ‘solo’ di Setor Gombak. Peminat dapat melihat dan menilai sendiri kekuatan XPDC dalam konsert ini.

“Kami ingin tampilkan nostalgia buat peminat apabila menyampaikan lagu ciptaan Allahyarham JS Kevin.

“Ia satu penghormatan terhadap beliau yang banyak menyumbang karyanya buat XPDC sejak ditubuhkan pada 1989. Karyanya kini menghampiri usia 30 tahun,” katanya.

Menurutnya, XPDC Solo akan menjadi acara istimewa untuk berinteraksi dengan peminat setia mereka.

“Penonton XPDC Solo berpeluang bermain muzik dan ‘jamming’ di atas pentas bersama kami. Penganjur akan menyediakan peralatan muzik tambahan di atas pentas untuk sesi berkenaan. Peminat kami dapat rasakan keunikan persembahan.

“Tak dinafikan saya dan anggota lain sangat teruja terbabit dalam projek ini kerana cuba tampilkan kelainan buat peminat.

“Peminat sudah biasa tengok persembahan kami dengan band lain. Jadi XPDC Solo ialah satu peluang untuk kami buat yang terbaik dan berbeza daripada apa yang kami biasa buat,” katanya.

Wakil penganjur dari TFM, Seir Rashid berkata, tema ini dipilih atas kehendak anggota XPDC yang mahu memberi fokus kepada persembahan sendiri, khusus bagi penyokong kuat mereka.

“Ia dinamakan sebagai XPDC Solo kerana hanya menampilkan kumpulan XPDC, tanpa band pembuka atau band iringan.

“XPDC tidak berkongsi pentas dengan sesiapa dan dari sini, peminat dapat menilai kehebatan mereka yang sebenar,” katanya.

Tiket untuk menonton berharga RM100 di mana pembeli akan turut memperoleh kemeja-T percuma.

Tiket boleh dibeli di XPDC Merch di Uptown Kota Damansara atau melalui telefon dengan memuat turun aplikasi Stubapp atau dengan melawat www.stubapp.com.

Ia juga boleh dibeli di pintu masuk konsert XPDC Solo di Setor Gombak, Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 8:04am
d