rap

Hidup saya tak pernah sunyi

Oleh Michelle Gun

Selepas bercerai dengan bekas suami 10 tahun lalu, penyanyi, Azharina Azhar masih belum bertemu jodoh sesuai.

Ketika ditanya sekiranya kehidupannya sunyi tanpa peneman hidup, Azharina, 33, memberitahu kehadiran anak-anak sentiasa membuatkan dia sibuk.

Malah, penyanyi kelahiran Sabah ini bergurau mungkin suaranya menyebabkan lelaki enggan mendekatinya.

“Dulu, bila balik rumah saya akan menangis kerana sunyi. Kini, hidup saya tidak pernah sunyi dan meriah dengan anak-anak yang sentiasa riuh di rumah.

“Mereka rakan gaduh dan kebahagiaan saya. Syukur pada usia sekarang, saya ada dua anak,” katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Elergi Sepi itu, kesibukan karier dan tanggungjawab sebagai ibu membuatkan dia tiada masa untuk mempunyai teman lelaki.

“Bukan kerana saya garang, ada yang berkenalan namun senyap tidak lama selepas itu.

“Mungkin mereka merasakan saya terlalu sibuk. Kini, anak-anak jadi keutamaan saya.

“Insya-Allah, saya pasti akan beritahu apabila sudah mempunyai kekasih,” katanya.

Azharina mempunyai dua anak angkat, Rahmat Azharin Azhar Abdullah serta Redha Azharin Azhar yang masing-masing berusia empat dan setahun.

Manakala anak angkat keduanya, Rizqie Azharin yang berusia sebulan meninggal dunia pada Mac tahun lalu.

Selain itu, dia turut mempunyai empat anak angkat lain yang tinggal bersama keluarga mereka.

Dalam pada itu, Azharina turut menyatakan hasrat ingin mengambil anak angkat baharu pada masa depan.

Lagu paling mahal

Mengenai perkembangan karier seninya, Azharina tampil mempertaruhkan Lakar Janji sebagai single terbaru.

Lagu ciptaan komposer Dr Irma yang juga doktor gigi itu mengambil tempoh hampir dua tahun untuk disiapkan.

Menurut Azharina, ini kali pertama dia bekerjasama dengan komposer wanita sepanjang 18 tahun karier seninya.

“Selalunya industri muzik dimonopoli komposer lelaki. Ini juga lagu pertama paling mahal dihasilkan dan saya turut memberi 100 peratus kepada susunan muzik sehingga ke rakaman video,” katanya.

Juara Gegar Vaganza 3 ini juga meletakkan harapan tinggi agar Lakar Janji dapat memasuki Anugerah Juara Lagu (AJL), tahun depan.

Sementara itu, Dr Irma berkata kekuatan vokal Azharina dalam menyampaikan lagu balada dipilih untuk menyanyi Lakar Janji.

“Orang pertama terlintas dalam fikiran ketika mencipta Lakar Janji ialah Azharina dan yakin dia tiada masalah nyanyi lagu itu,” katanya.

Azharina dan Dr Irma menerusi syarikat masing-masing mengeluarkan perbelanjaan besar untuk produksi dan pemasaran Lakar Janji.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 11:00am
d