rap

Gubal akta lindungi penggiat seni

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PERSATUAN Seniman Malaysia (SENIMAN) berharap kerajaan menggubal satu akta khusus untuk penggiat seni bagi menjaga kebajikan dan kepentingan golongan terbabit.

Presidennya Zed Zaidi berkata, akta yang boleh dinamakan Akta Industri Kreatif dan Muzik itu bertujuan melindungi penggiat seni yang sering dimanipulasi pihak tertentu berkaitan bayaran kerja.

Katanya, sejak zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee sehingga kini, tiada akta khusus bagi penggiat seni menyebabkan ramai yang ditipu.

“Jika diamati, kakitangan kerajaan dan swasta dilindungi oleh Akta Buruh dan begitu juga sektor yang lain, tetapi barisan artis tiada.

“Disebabkan itu, ramai penggiat seni dimanipulasi berkaitan bayaran gaji minimum, dokumen pembayaran kerja oleh produksi dan bayaran royalti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Zed, kira-kira 70 peratus daripada lebih 5,000 penggiat seni mengadu masalah itu yang memerlukan perhatian kerajaan.

“Selama hampir 70 tahun, penggiat industri tidak dilindungi oleh sebarang akta dan undang-undang yang menjaga hak mereka. Kita berharap perkara ini diberi perhatian terutama oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Katanya, pihak produksi dan stesen televisyen dilindungi akta tertentu melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Ketika ini, sektor animasi dilihat sedang berkembang pesat dan ia juga harus dijaga demi kemajuan produk Malaysia. Maka, penggiat seni amat memerlukan penggubalan akta terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 6:13pm
d