rap

Black selesa kongsi pentas dengan anak

Oleh Syafil Syazwan Jefri

WALAUPUN kerap muncul bersama anaknya, namun penyanyi Black Hanifah, 31, belum mengenakan sebarang bayaran untuk persembahan bersama itu.

Namun, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah perlu mempertimbangkan terlebih dahulu, bagaimana konsep kemunculan anaknya, Khaleef Dayyan di pentas.

“Dayyan sudah beberapa kali muncul membuat persembahan bersama saya kerana dalam lagu baru berjudul Pok Pet, ada bahagian yang menggunakan suaranya.

“Buat masa sekarang, saya tidak kenakan sebarang bayaran. Namun, kalau ada penganjur yang inginkan dia muncul di acara tertentu dan mempromosikan produk atau sebagainya, itu saya perlu pertimbangkan semula,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Black, anaknya juga tidak dipaksa untuk turut serta membuat persembahan di pentas.

“Saya tak paksa dia untuk naik bersama. Kalau dia nak, dia ikut. Tapi, Alhamdulillah, Dayyan jenis yang mudah berikan kerjasama dan selesa berada di atas pentas,” katanya.

Katanya, anak sulungnya itu juga akan turut membuat persembahan di Konsert Tomok vs Black yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November ini.

“Saya bersama pengurusan sudah meminta kebenaran pihak pengurusan DFP untuk membawa Dayyan membuat persembahan. Alhamdulillah, selepas tiga minggu, permohonan kami diterima.

“Jadi, dia akan bersama saya menyampaikan lagu Pok Pet di pentas besar itu dan semoga semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Selain Dayyan, tiga tahun, perkahwinan Black bersama isteri, Naquia Yasirah Mohd Khairi dikurniakan cahaya mata kedua, Rindu Dayyana yang dilahirkan pada 25 Oktober lalu.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 2:14pm
d