rap

Semoga pembedahan Acid Ekamatra dipermudahkan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"SEBELUM ini saya sering mengalami sakit dibahagian paha kanan. Selepas buat imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) di hospital swasta, doktor mengesahkan saya menghidap kanser tisu sarcoma (STC) dan perlu menjalani pembedahan," kata Acid, bekas pemain dram kumpulan Ekamatra mengulas situasi kesihatannya sekarang.

Acid atau nama sebenarnya Mohd Rashib Ibrahim, 52, kini aktif sebagai buskers sepenuh masa selepas berhenti kerja di sebuah syarikat perumahan.

Dia mengakui agak terbeban mencari wang untuk pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dijadualkan pada 21 November ini.

"Majikan tak benarkan saya ambil cuti sakit dan tiada pilihan kena berhenti kerja. Sekarang saya perlu menyediakan kos sekitar RM24,000.

"Pendapatan sebagai buskers bukanlah menentu. Sekarang pun saya kena banyak keluarkan wang untuk rawatan susulan. Selepas pembedahan, saya kena berehat selama setengah bulan bagi memastikan sembuh sepenuhnya.

"Saya kini menyanyi di kawasan foodtruck Pandan Indah. Sudah tiga minggu saya berehat kerana keadaan kesihatan kurang mengizinkan. Nak kembali menyanyi sekarang cuaca tak menentu kerana sering hujan," katanya kepada Harian Metro.

Penderitaan Acid turut mendapat perhatian daripada persatuan Malaysian Buskers Club (MYBC) yang menganjurkan Charity Busking di Avenue K, Kuala Lumpur pada 28 Oktober lalu namun jumlah kutipan yang diperolehi masih belum mencukupi.

"Saya mengalu-alukan dan berbesar hati jika ada mana-mana pihak atau individu bermurah hati menghulurkan sumbangan buat saya.

"Ia boleh dibuat menerusi akaun Maybank 114227052063 milik isteri saya Samhanim Noordin," katanya.

Acid menderita sakit itu sejak tiga tahun lalu.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 4:26pm
d